KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail menunjukkan keprihatinannya mengenai bentuk penipuan baru yang melibatkan sabotaj terhadap badan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, penipu (scammer) mensabotaj sebuah NGO dengan mengubah wajah pengerusi menjadi model dan memanipulasi nombor pada kad pengenalan.
“Akaun-akaun yang telah dimanipulasi ini kemudiannya digunakan untuk membuat pengumuman kepada orang ramai bahawa NGO tersebut menawarkan pinjaman tanpa bayaran.
“Modus operandi penipuan ini adalah untuk mencipta imej seolah-olah NGO tersebut menawarkan pinjaman tanpa syarat, sedangkan sebenarnya NGO tersebut tidak mempunyai dana untuk melakukannya.
” Kes ini telah dilaporkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), tetapi sehingga kini, tiada penyelesaian yang jelas telah diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini.
Tegas Hussin, sekiranya ia tidak ditangani segera, kes tersebut berpotensi menjadi perkembangan baru yang boleh menjerumuskan banyak pihak ke dalam penipuan.
“Terdapat juga kebimbangan bahawa mungkin akan ada whistleblower (pendedahan) yang akan mendedahkan NGO tersebut sebagai penipu, walhal mereka adalah mangsa sabotaj.
“Kes ini telah berlanjutan selama hampir setengah tahun tanpa penyelesaian yang konkrit.
“Oleh itu, tindakan segera dan respons daripada pihak berkuasa adalah diperlukan untuk menangani bentuk penipuan baru ini dan melindungi nama baik NGO yang terlibat,” ujarnya lagi.
Pada soalan asal, Senator Dato’ Juhanis Abd Aziz meminta penjelasan Menteri Dalam Negeri berkaitan langkah semasa pihak kerajaan dalam membanteras penipuan atas talian yang semakin berleluasa ketika ini. – HARAKAHDAILY 29/7/2024