PN diramal menang 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka

- Advertisement -

MASJID TANAH: Mantan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Isham Jalil meramalkan bahawa Perikatan Nasional (PN) bakal menang di 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka pada PRN16 akan datang.

- Advertisement -

Menurut beliau, ia disebabkan oleh penyokong-penyokong Umno yang sudah mula beralih arah kepada PN setelah pimpinan Umno sekarang  mula berpakat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

Kata beliau, pada masa kini Umno terbahagi dua iaitu mereka yang tidak bersetuju Umno berpakat dengan ‘Anwar dan DAP’ dipanggil beliau sebagai ‘Umno Original’, manakala golongan yang bersetuju pula sebagai ‘UmDAP’.

“Saya nak ucap tahniah pada penganjur sebab kita sediakan khemah ini, tapi orang ramai sampai terkeluar-keluar daripada khemah ni. Tahniah!Sebab itu saya yakin, masa PRN yang lepas Barisan Nasional menang dua pertiga majoriti.

“Dulu 21 daripada 28 kerusi. Kali ini saya ingat PRN16 ni Perikatan Nasional pula akan dapat 21 daripada 28 kerusi, insya-Allah,” ujar beliau pada ceramah ‘Selamatkan Melaka’ di Kampung Teluk Gong, Kuala Sungai Baru, di sini kelmarin.

Kata beliau, sewaktu berlangsungnya PRN15 Melaka, beliau telah turun berkempen untuk Umno menentang PN dan PH dan banyak bekerjasama dengan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang merupakan Pengerusi Umno Melaka.

“Tetapi masa tu kita menang, BN menang sebab kempen kita masa tu satu saja, iaitu ‘No Anwar, No DAP‘! Tetapi tiba-tiba lepas mereka menang sekarang Rauf (mendukung) ‘Yes Anwar, Yes DAP! I love you!

“Sebab itu kali ini kita pula kata pada dia… ‘No Anwar! No DAP!’ Jadi boleh (menang) kali ni. Melaka ni boleh kalih. Dia (orang Umno Original) tak suka, tak boleh… ‘No Anwar No DAP‘. Tetapi Rauf buat macam itu,” katanya.

Beliau turut memuji kemampuan PN untuk menawan dua kerusi DUN semasa PRN15 Melaka dan tiga kerusi Parlimen pada PRU15 dengan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin kekal di kerusi Parlimennya.

Menyifatkan Mas Ermieyati sebagai rakan lama semasa dalam Umno, beliau berkata, bekas Ketua Puteri Umno Malaysia itu banyak melakukan penambahbaikkan dalam Puteri Umno semasa memimpin sayap tersebut.

Kata Isham, sewaktu berlangsungnya PRU)15, beliau turut turun berkempen untuk BN dan pada waktu itu Rauf benar-benar yakin dapat merampas kerusi Parlimen itu dari Mas Ermieyati.

“Saya tanya dia macam mana (Parlimen) Masjid Tanah boleh menang PRU Parlimen? Dia kata ‘confirm‘ dia boleh tewaskan YB Mas Ermieyati. Tapi dia takut, dia pun tak bertanding (PRU15).

“Dia letak orang lain. Dia tak berani. Sebab kalau dia sendiri bertanding lawan YB Mas masa Parlimen, dia menangkah (atau) dia lingkup?” katanya ketika berucap dalam program

Malah kata beliau, sewaktu PRN sebelum itu, Rauf hanya menang dengan majoriti sekitar 300 undi sahaja di DUN Tanjung Bidara menentang Mas Ermieyanti yang mewakili PN di kerusi tersebut pada waktu itu.

“Dia tak boleh. Dia ingat dia menang masa di Parlimen itu hari, tapi tak boleh. Sebab kita dapat laporan pada ketika itu YB Mas Ermieyati orang suka dia di sini. Saya boleh bagi tahulah. Sebab dia selalu turun padang.

“Daripada dulu kita dapat laporan itu. Suka berjumpa rakyat, suka turun padang dan suka mengambil berat pasal hal rakyat. Orang macam ini macam mana Rauf nak kalahkan?” ujarnya.

Turut menyampai ceramah pada malam itu ialah Pengerusi PN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub da. Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail serta Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Dalam majlis tersebut Dr Yadzil turut melancarkan kempen ‘Selamatkan Melaka’ yang menjadi agenda PN negeri itu dalam usaha membongkar sebarang penyelewengan kerajaan dan mempertahankan hak rakyat negeri itu.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin da  Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman serta Ketua Bahagian BERSATU Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris. – HARAKAHDAILY 29/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!