PAS Perak alukan kerjasama BN-DAP untuk PRU16

- Advertisement -

BAGAN SERAI: PAS Negeri Perak komited bersama Perikatan Nasional (PN) memperjuangkan ketuanan Islam dan bangsa Melayu serta rela menjadi pembangkang berprinsip daripada menjadi alat kepada pihak lain.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria sehubungan itu menyambut baik pengisytiharan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan DAP oleh Pengerusi BN Perak bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 akan datang.

“Kita (PAS) komited dengan perjuangan mendaulat Islam dan ketuanan Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara. Pembelaan terhadap kaum yang tertindas dan miskin juga menjadi agenda besar perjuangan PAS.

“Kita akan bersama dengan mana-mana pihak yang bersedia menerima perjuangan parti PAS,” ujar beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengimbau peristiwa lalu kata Razman, dakwaan Pengerusi BN konon pihaknya tidak ditawarkan jawatan Exco sewaktu ingin membentuk kerajaan selepas PRU15 adalah satu pembohongan.

Sedangkan katanya, parti itu menolak pertemuan perbincangan membentuk kerajaan negeri bersama PN yang telah memenangi 26 daripada 59 kerusi DUN di negeri itu.

“Kerakusan terhadap jawatan menjadikan BN melupakan agenda Perpaduan Ummah. Sedangkan Perpaduan Ummah yang diusahakan PAS adalah mengajak seluruh umat khususnya orang Melayu dan bukan-Melayu yang tidak ekstrem untuk bersama,” tegasnya.

Justeru PAS bersama PN Perak katanya, berazam akan memberi tumpuan kepada kerusi Melayu milik BN dan Pakatan Harapan (PH) demi menyelamatkan bangsa yang dikhianati Umno pada PRU lalu.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru kepada seluruh pengundi Umno yang merasa dikhianati agar bersama PAS dan PN dalam merealisasikan agenda Perpaduan ummah.

Kepada pemimpin BN Perak, khususnya Umno, beliau mengingatkan agar Kisah Pak Pandir menang sorak kampung tergadai wajar diteladani dan diambil ikhtibar. – HARAKAHDAILY 29/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!