Pembukaan Olimpik Paris 2024: Akar peradaban yang telah mati

Wan Ahmad Fayhsal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Acara pembukaan sukan Olimpik Paris 2024  yang telah menimbulkan kontroversi di peringkat global telah menyerlahkan lagi akar peradaban Eropah yang telah mati.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, refleksi daripada pembukaan tersebut adalah satu penghinaan kepada bukan sahaja agama Kristian tetapi juga Islam.

- Advertisement -

Menurutnya, acara menampilkan  satu parodi ‘Drag Queen’ (aksi sketsa lakonan pondan) dalam pengkisahan berjudul, ‘The Last Supper’.

“Bagi saya tidak pelik apa yang berlaku di Paris ini.” 

“Eropah telah terputus akar peradabannya dengan agama khususnya Kristian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, kelainan yang cuba ditonjolkan di sepanjang Sungai Seine semasa perarakan pembukaan Olimpik Paris 2024 mendapat kecaman apabila terdapat beberapa elemen persembahan yang mengandungi unsur LGBTQ+ ketika upacara berlangsung.

“Fenomena budaya songsang ini diagnosisnya ada dalam karya ringkas yang dikarang bersama oleh Cardinal Joseph Ratzinger (Pope Benedict XVI) dan Marcelo Pera bertajuk, Without Roots: The West, Relativism, Christianity and Islam.

“Ini tidak pelik, lebih-lebih lagi, Perancis adalah pusat dan tempat di mana faham sekularisme diinstitusikan dalam pentadbiran negara pasca Revolusi Perancis 1789,” tambah Fahysal.

Sehubungan itu, ujar beliau, ibu kota Paris adalah tempat lahirnya fahaman dan falsafah berakarkan Relativisme (tiada kebenaran hakiki dan mutlak; semua pihak ada kebenaran tersendiri) yang menjadi satu budaya baru Modernisme.

“Justeru, fahaman Post-Strukturalisme, Dekonstruksisme dan Eksistentialisme yang diperjuangkan dalam zaman moden Eropah itu, maka lahirlah masyarakat yang menatijahkan ‘tayangan’ (spectacle) yang kita lihat di layar TV pembukaan Olimpik Paris 2024.

“Kesemua ranah dan ragam pemikiran ini telah meracuni dan mematikan akar budaya dan agama di Eropah dan Barat sehingga terlucut peradaban mereka daripada akar asalnya iaitu agama Kristian,” jelasnya.

Fayhsal juga menjelaskan bahawa kesemua pemikiran daripada mereka ini dipanggil sebaga ‘syak’ (doubt), maka asas itulah akhirnya meruntuhkan tiang seri kerangka keilmuan Barat dari sudut ontologi, epistemologi dan aksiologi.

Dengan itu juga, ujar Fayhsal lagi, terdapat beberapa sifat yang merangkumi ‘Kediktatoran Relativisme’ (Dictatorship of Relativism) daripada hujah Pope Benedict XVI.

“Sifatnya yang pertama ialah tiada lagi kebenaran tetap dan mutlak; kedua, ego individu adalah hakim utama; ketiga, pegagangan dan faham agama tiada tempat dalam ruangan awam; dan keempat, agama hanyalah layak ditempatkan di ruang peribadi. 

“Sementara yang kelima, agama ditampilkan sebagai ancaman kepada kebebasan dan kesamarataan diri dan masyarakat; dan yang terakhir adalah ilmu manusia itu bukan mutlak sifatnya dan kebenaran sentiasa berubah mengikut tempat dan masa. 

“Ironinya, Pope Benedict XVI mengiktiraf bahawa Islam sebagai sebuah agama dan peradaban turut berkongsi cabaran yang sama seperti Agama Kristian dalam mendepani cabaran Zaman Moden ini,” terangnya.

Menurut Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang, dialog antara agama dan peradaban Islam dan Kristian perlu diteruskan dan dirapatkan jurang agar kedua-duanya mampu merawat wabak Sekularisasi, Relativisme yang semakin ganas meracuni akar bangsa dan agama bukan saja di Eropah dan Barat malah di seluruh dunia.

“Apa yang berlaku di pentas pembukaan Olimpik Paris 2024 itu patut sedarkan kita bahawa kehidupan beragama kini semakin terancam di bawa arus kemodenan yang tidak lagi meletakkan Tuhan di hadapan malah terus hilang ditelan zaman. 

“Kalau begitu siapakah Tuhan bagi orang-orang moden ini? Siapa lagi kalau bukan nafsu, ego kita sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/7/2024

- Advertisement -