Makkah ibarat gedung jualan besar

- Advertisement -

RUKUN Islam ada lima, salah satunya ialah haji. Kata ulama, ia merupakan ibadah yang menyentuh semua perkara iaitu rohani yang melibatkan jiwa, perasaan dan emosi kita kerana meninggalkan kampung halaman.

Keduanya, jasmani yang melibatkan tubuh badan kerana ia memenatkan. Oleh sebab itu, kita digalakkan untuk mengerjakannya sewaktu muda kerana apabila sudah berumur, tubuh kita sudah tidak dapat tahan lasak dan ketiga adalah melibatkan harta.

Tidak seperti ibadah lain. Contohnya, mengucap syahadah, hanya melibatkan aspek rohani yang datang daripada keyakinan dalaman. Tidak letih dan berpeluh.

Wang pun tidak habis. Ibadah solat pula merupakan ibadah fizikal yang melibatkan tubuh badan dan spiritual daripada bacaan-bacaan. Sama juga dengan puasa. Manakala ibadah zakat lebih melibatkan harta.

- Advertisement -

Namun, ibadah haji menggabungkan semua aspek. Aspek rohani, kerana meninggalkan kampung halaman dan keluarga. Dahulu mengambil masa dua bulan perjalanan melalui laut. Sekarang pun ada yang pergi selama 30 hingga 40 hari. Pergi dalam keadaan belum tahu sama ada boleh kembali semula ataupun tidak.

Aspek jasmani, kerana penat. Nak tawaf, saie dan melontar. Dahulu semasa melontar, ada yang mati akibat dipijak. Jadi, ia memerlukan ketahanan fizikal yang tinggi. Aspek harta pula, perlu membelanjakan harta.

Menurut ulama, haji merupakan himpunan besar-besaran umat Islam seluruh dunia, bagi mengerjakan ibadah supaya mendapat faedah atau manfaat yang banyak dari segi agama, pengetahuan, fikiran dan sebagainya.

Kita boleh tengok tempat-tempat Nabi dan sahabat. Dengan padang pasir yang gersang dan tiada air, bagaimana orang boleh hidup pada ketika itu? Nabi berhijrah dari Makkah ke Madinah, beratus-ratus kilometer, berjalan kaki di tengah-tengah padang pasir, dalam keadaan diburu untuk ditangkap oleh orang kafir dan tiada bekalan air.

Nak pergi berperang, berjalan kaki dari Madinah ke Tabuk. Waktu itu musim panas terik. Ada sahabat yang tidak pergi berperang. Pokok-pokok tanaman pula mengeluarkan hasil yang banyak.

Sesetengahnya sayang nak meninggalkan hasil tersebut. Juteru, perjuangan orang zaman dahulu sangat besar.

Kita juga boleh melihat kepelbagaian manusia. Sekiranya kita pergi ke Makkah, kita dapat melihat bermacam-macam jenis manusia yang berbeza dari segi warna kulit, fesyen, pemakaian, gaya dan budaya. Ada yang tenang berbaring di atas lantai masjid pada waktu tengah hari yang amat panas.

Inilah kekayaan dan kebesaran Allah. Allah bukan sahaja mencipta orang Melayu, Cina, tetapi pelbagai. Ada orang yang berbangsa Negro yang kulitnya memang hitam, tidak seperti orang Melayu kita yang kulitnya gelap.

Perkara yang paling besar yang boleh kita lihat di Makkah ialah tiada pokok kayu di sana, tetapi segala jenis makanan ada. Inilah berkat doa Nabi Ibrahim.

Antara doanya adalah supaya Allah memberi makanan termasuklah buah-buahan yang banyak.

Sebenarnya pelik pergi ke Makkah kerana ia ibarat suatu gedung jualan yang besar. Barang yang kita tidak boleh fikir, ada di sana. Inilah kebesaran Allah yang memberi rezeki. – HARAKAHDAILY 29/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -