SURAH al-Hajj merupakan surah yang ke dua puluh dua berada dalam juzuk ke tujuh belas, surah Madaniyyah dan mengandungi tujuh puluh lapan ayat.
Surah ini dinamakan sebagai al-Hajj kerana pada ayat dua puluh enam, ada disebut mengenai ibadah haji.
Antara intisari kandungannya adalah diterangkan mengenai hari akhirat dan manusia yang terkejut dengan kedatangan hari kiamat. Allah ingin menarik perhatian dengan menjelaskan kekuasaan-Nya.
Allah akan menolong Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan dakwahnya untuk mengembangkan agama Islam dan akhirnya Nabi akan diberi kemenangan oleh Allah SWT.
Allah SWT juga memberi amaran kepada kaum kafir Musyrik yang menguasai tanah suci Makkah pada waktu itu. Mereka melarang orang Islam daripada mengerjakan ibadah haji.
Kebetulan pada ketika itu, Nabi dan para sahabat ingin mengerjakan haji namun dihalang di suatu tempat yang bernama Hudaibiyah. Hudaibiyah berada di luar Kota Makkah dan kini menjadi tempat miqat.
Selepas peristiwa tersebut, Nabi berjaya menakluki kota Makkah dan seluruh penduduk Makkah menerima Islam.
Dalam surah ini juga diceritakan mengenai Baitullah atau Kaabah yang berada di tanah suci Makkah. Allah memerintahkan Nabi Ibrahim supaya membina semula Kaabah.
Kaabah telah rosak dalam sejarah beberapa kali disebabkan oleh peperangan, banjir dan sebagainya dan juga telah dibina semula beberapa kali.
Pada zaman Nabi Ibrahim, Allah memerintahkan supaya Baginda bersama dengan anaknya, Nabi Ismail membinanya semula. Kaabah tersebut kekal sehingga hari ini.
Walau bagaimana pun, bentuknya lebih kecil. Yang asal ialah termasuk Hijir Ismail, di mana tawaf tidak dibenarkan di kawasan lengkungan yang berbentuk separa bulatan yang terletak di utara Kaabah.
Dalam satu riwayat, Nabi menyebut, kalau tidak kerana orang Arab baru sahaja masuk Islam, aku akan meruntuhkan Kaabah ini dan membinanya semula. Nabi bimbang dengan meruntuhkannya akan menimbulkan fitnah.
Kisah lain yang diceritakan dalam surah ini adalah mengenai keadaan orang Islam sebelum mereka berjaya menakluki kota Makkah. Mereka dianiaya dan ditindas oleh orang kafir sehingga Nabi dan orang Islam terpaksa berhijrah keluar dari Makkah. Pada peringkat awal, hijrah ke Habsyah, kemudian ke Madinah. – HARAKAHDAILY 28/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.