KUALA LUMPUR: Perang Arab-Israel 1973 adalah titik permulaan untuk menormalisasikan hubungan dengan negara haram Israel oleh kerajaan Mesir.
Penganalisis politik merangkap Dekan Institut Pengajian Siswazah, Universiti Islam Melaka, Prof Kamaruzaman Yusoff berkata, ia merupakan satu detik kesedihan kepada umat Islam.
“Ini kerana kerajaan Mesir di bawah Presiden Anwar Sadat ketika itu memulakan hubungan baik dengan negara haram tersebut.
“Ini kerana kita semua mengetahui bahawa negara Mesir adalah terkenal dengan pusat Islam melalui Universiti Al-Azhar tetapi kerajaannya boleh melakukan sedemikian,” katanya dalam Forum Suara Kemanusiaan Gaza yang diadakan di Dewan Majlis Perundangan Melayu, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Pergerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Prof. Mohd Nazari Ismail; Pengerusi Pembela Lukman Sheriff Alias; Ahli Dewan Undangan Negeri Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad; Penceramah Sejarah Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IIAM), Zahara Sulaiman; dan Pengerusi Gabungan Pembebasan Palestin, Muhammad Fauzi Asmuni.
Menurut beliau, ramai orang berfikiran bahawa Yasser Arafat sebagai satu perwira yang membantu rakyat Palestin dalam menentang penjajahan negara haram Israel.
Tambahnya, pemikiran tersebut telah berjaya ditanam oleh kuasa-kuasa barat terhadap ramai umat Islam itu sendiri.
“Dalam perkara ini kita boleh melihat bagaimana media-media antarabangsa telah berjaya mengangkat tokoh-tokoh nasionalis (termasuklah Yasser Arafat) sebagai perwira pembebasan Palestin.
“Ini merupakan sesuatu yang penting untuk kita tegaskan dan mengapa perkara sebegini berlaku ialah media pada ini kebanyakannya dikuasai oleh pihak Barat,” jelasnya.
Sehubungan itu, Kamaruzaman menyatakan, pihak yang benar-benar bangkit menentang rejim Zionis adalah pemimpin-pemimpin gerakan Islam.
Kata beliau lagi, pemimpin-pemimpin tersebut adalah terdiri daripada para ulama itu sendiri.
“Namun begitu, yang ditonjolkan oleh media-media barat hanyalah Fatah dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebagai perwira semata-mata.
“Jadi, kita harus mengambil perhatian dan berhati-hati dengan apa yang ditonjolkan oleh mereka kerana ini adalah satu penjajahan secara halus,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/2024