KOTA BHARU: Masyarakat perlu mempelajari kaedah prosedur kecemasan (cardio-pulmonary-resuscitatio – CPR) sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, CPR amat penting untuk dipelajari anggota keluarga memandangkan sesak nafas atau sakit jantung boleh menyerang sesiapa sahaja.
Menurutnya, empat daripada lima serangan jantung berlaku di rumah atau di tempat kerja pada waktu tertentu.
“Ini bermakna orang yang berpotensi untuk kita selamatkan dengan CPR kemungkinan besar adalah seseorang yang dikenali,” katanya ketika berucap merasmikan Kelantan Mass CPR Awareness and Training Programme 2024 di Mydin Mall, Tunjong, petang tadi. Turut berucap Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dato’ Dr. Zaini Hussin.
Program berkenaan anjuran bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Hospital Raja Perempuan Zainab ll (HPRZII) serta Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Cawangan Kelantan.
Seramai 400 orang peserta yang terdiri daripada pasukan beruniform serta orang awam menyertai program berkenaan.
Oleh itu, tambahnya, mengetahui asas CPR untuk menyelamatkan nyawa orang yang dikenali atau keluarga sendiri amat penting.
Menurutnya lagi, amat penting bagi orang awam mempunyai ilmu tentang CPR serta mengetahui teknik melakukannya sebagai langkah awal untuk menyelamatkan mangsa, sementara menunggu kakitangan paramedik tiba di tempat kejadian.
“Prosedur kecemasan yang berpotensi untuk menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku keadaan jantung atau pernafasan terhenti.
“Apabila seseorang individu mengalami serangan jantung, jantung mereka berhenti berdegup, menyebabkan ketidakupayaan untuk mengepam darah kepada organ penting seperti otak dan paru-paru,” katanya.
Tambahnya, tanpa langkah kecemasan segera diambil, kematian boleh berlaku dalam beberapa minit.
Jelasnya, CPR boleh menyelamatkan nyawa yang melibatkan kaedah tekanan dada dan pernafasan.
“Kaedah ini dilakukan untuk memastikan peredaran darah berlaku secara manual bagi memastikan kadar oksigen mencukupi ke organ-organ penting dalam badan seperti bahagian paru-paru, otak dan organ-organ penting yang lain,” tambahnya lagi.
Menurutnya, sekiranya kaedah ini dilakukan secara segera, konsisten dan mengcukupi, ia dapat meningkatkan peluang untuk hidup sehingga dua atau tiga kali ganda lebih tinggi.
“Sayangnya, kurang daripada 50 peratus orang yang mengalami serangan jantung di luar hospital menerima CPR daripada seseorang yang berdekatan,” kata Hilmi lagi. – HARAKAHDAILY 27/7/2024