KUALA KRAI: Tahap kebersihan dan keceriaan bandar-bandar utama di Kelantan semakin baik, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri. Hilmi Abdullah.
Beliau berkata, sejak program Kelantanku Bersih diperkenalkan 10 tahun lalu, menjadikan suasana bandar-bandar di peringkat jajahan bertambah baik.
Beliau bagaimanapun mengakui, sikap individu tertentu yang gemar membuang sampah sesuka hati masih ada.
“Kerana itu kerajaan negeri termasuk PBT seluruh jajahan sentiasa memberi penerangan betapa pentingnya menjaga kebersihan serta tidak membuang sampah sesuka hati.
“Bagaimanapun tidak dinafikan keadaan bandar-bandar di negeri Kelantan semakin baik, apa lagi tugas kebersihan yang dilakukan secara berkala sentiasa dilakukan oleh pekerja kebersihan peringkat PBT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Gotong Royong Perdana Peringkat Jajahan Tanah Merah yang diadakan di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah, di sini semalam.
Turut hadir pada majlis itu, ADUN Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Ketua Whip MDTM, Wan Yusof Wan Mustapha.
Sebanyak lapan kawasan telah menjadi pilihan untuk dibersihkan pada program yang dijayakan lebih 500 orang petugas itu.
Beliau turut memberitahu, program itu diadakan dari masa ke semasa sepanjang tahun ini, bersesuaian Tahun Melawat Kelantan 2024.
“Objektif utama program ini diadakan untuk terus menyemai semangat cintakan amalan kebersihan dikalangan seluruh penduduk dalam negeri Kelantan.
“Agenda Kelantanku Bersih tidak akan tercapai dengan meletakkan bebanan kepada PBT masing-masing tanpa kerjasama serta peranan semua pihak tanpa mengira lapisan masyarakat dan peringkat umur,” katanya lagi.
Tambahnya, kempen dan amalan kebersihan perlu berjalan serentak dan tanpa henti kerana kebersihan adalah sunah Rasulullah SAW dan sebahagian daripada keimanan. – HARAKAHDAILY 26/7/2024