KELANTAN: Peranan Arkib PAS Pusat sangat penting sebagai pusat penyimpanan setempat segala jenis dokumen mengenai parti PAS untuk rujukan pada masa akan datang.
Setiausaha Agung PAS merangkap penasihat Jabatan Arkib PAS Pusat, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, melalui Arkib PAS Pusat, banyak maklumat yang perlu direkod dan disimpan.
“Ia bukan tugas yang mudah. Kita perlu komited dan amanah dalam menjaga bahan yang ada dalam jamaah ini.
“Atas dasar itulah arkib merupakan tempat menyimpan bahan bercetak dan semua bahan ini perlu dibuku, didokumen dan ditempatkan di tempat yang sesuai.
“Semua pihak harus menggembleng tenaga dan mempunyai koordinasi antara satu sama lain kerana bahan arkib ini terdiri dari bahan yang rahsia, terhad, sulit dan terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Pemukiman Arkib PAS 2024 yang diadakan buat julung-julung kalinya oleh Jabatan Arkib PAS Pusat di Hotel Ibus Styles, Kota Bharu, di sini, dari 19 hingga 20 Julai 2024.
Turit hadir ialah Penolong Setiausaha Agung PAS merangkap Pengerusi Jabatan Arkib PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil; dan Setiausaha Politik Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bachok, Shahir Sulaiman.
Objektif utama program tersebut adalah bertujuan untuk mengenal pasti semua keperluan dan menggariskan pelan tindakan bagi merealisasikan objektif untuk menjadikan Jabatan Arkib sebagai salah satu cabang di dalam organisasi PAS yang berfungsi dan berkesan.
Kira-kira 40 orang peserta hadir yang terdiri daripada Pengarah Arkib Dewan-Dewan dan Pengurus Arkib Negeri.
Dua orang pembentang telah membentangkan kertas kerja masing-masing iaitu pembentang pertama, ialah Pegawai Penyelidik Muzium Kelantan, Mohd Fadli Ghani, yang membentangkan kertas berjudul, Dasar Arkib, Polisi dan Halatuju.
Sementara, kertas kerja kedua dibentang oleh Penolong Pengarah Arkib Kelantan, Farizam Mustapha bertajuk, Peranan dan fungsi Arkib dalam Organisasi, Pengurusan Rekod, Dokumentasi dan Arkib.
Sementara Pengerusi Jabatan Arkib PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil pula berkata, beliau amat berpuas hati dengan kehadiran peserta yang memberangsangkan.
“Ia merupakan petanda yang baik untuk mereka menggerakkan Arkib PAS Pusat di negeri masing-masing selepas permukiman ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap, semoga resolusi dari permukiman ini dapat memberi tumpuan mengenai hala tuju dan strategi yang memerlukan sinergi dan sumbangsaran dalam kalangan ahli jawatankuasa di pelbagai peringkat.
“Diharap permukiman kali ini dapat mencapai sasaran yang jelas di samping dapat mewujudkan sistem kepustakaan yang menyimpan buku dan tesis yang berkaitan dengan sejarah PAS dan isu-isu semasa untuk rujukan pelbagai peringkat,” katanya.
Di akhir permukiman ini ahli jawatankuasa dan peserta mengadakan lawatan ke Arkib Pas Kelantan yang terletak di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan bagi berkongsi idea dan inspirasi sebagai rujukan untuk dilaksana di arkib negeri masing-masing. – HARAKAHDAILY 26/7/2024