KUALA LUMPUR: Isu pemberian sumbangan syarikat arak kepada sekolah bukan sahaja bertentangan dengan peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tetapi juga terhadap agama dan moral rakyat Malaysia.
Pengerusi Biro Pendidikan Putra, Nasir Othman berkata, sudah beberapa kontroversi yang telah melanda dalam KPM semenjak diterajui oleh kerajaan pada masa ini.
“Belum reda lagi isu Lembaga Pengurusan Sekolah Cina menolak Bahasa Melayu dalam Dual Language Program (DLP), kini timbul pula isu syarikat arak memberi sumbangan kepada pihak sekolah,” katanya.
Menurut beliau, Surat Pekeliling Ikthisas (SPI) Bilangan 3/2018 mengenai garis panduan KPM telah menyatakan bahawa sebarang hasil daripada perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya tidak dibenarkan untuk memberi sumbangan terhadap mana-mana sekolah.
Tambah beliau, ini kerana aktiviti-aktiviti tersebut boleh menjejaskan perkembangan potensi setiap murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
“Isu ini semakin panas mendapat reaksi pelbagai pihak, pemimpin dan rakyat kerana bukan saja bertentangan dengan peraturan KPM malahan dengan agama dan moral rakyat Malaysia.
“Peraturan KPM tidak menghalang untuk kutipan derma, sumbangan dana, kepakaran dan sebagainya asalkan mengikut lunas dan peraturan yang ditetapkan.
“Tambahan pula, ketagihan arak yang melampau boleh mewujudkan pelbagai penyakit sosial, maksiat, perpecahan institusi kekeluargaan, pembunuhan, jenayah, kemalangan jalan raya dan sebagainya,” jelasnya.
Media sebelum ini melaporkan, sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Sepang, Selangor menganjurkan konsert amal dengan penglibatan sebuah syarikat minuman keras yang merupakan antara penyumbang.
Sehubungan itu, Nasir mempersoalkan motif tajaan tersebut yang dilakukan oleh syarikat arak kerana seolah-olah terdapat cubaan untuk menormalisasi sistem pendidikan dengan perkara yang bertentangan dengan agama dan moral.
Kata beliau lagi, meraikan pelbagai kaum tidak bermakna boleh menghalalkan sesuatu perkara yang jelas membawa keburukan terhadap masyarakat.
“Mungkin ini merupakan satu ‘provokasi halus’ untuk meninjau reaksi rakyat sejauh mana rakyat menolak normalisasi liberal dalam sistem pendidikan.
“Apakah mampu KPM tegas dengan peraturan yang telah ditetapkan atau sebaliknya atas tekanan ‘rakan mesra’ kerajaan campuran itu sendiri? Apa pun kita tunggu dan lihat reaksi Menteri Pendidikan.
“Namun begitu sebarang sumbangan yang diberikan oleh syarikat-syarikat yang terlibat dalam perjudian, arak dan seumpamanya kepada mana-mana sekolah perlu diharamkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/7/2024