Temasya Oghang Kedah serlah khazanah warisan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Temasya Oghang Kedah (TOK) yang akan dipenuhi dengan acara-acara seni budaya tidak ternilai bakal berlangsung di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini 26 hingga 29 September depan.

- Advertisement -

Festival yang dijangka dapat menarik ramai pengunjung termasuk pelancong luar ini merupakan satu program ikonik ke arah memartabatkan lagi khazanah warisan yang terdapat di negeri ini.

Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin memaklumkan, TOK juga membuka penyertaan negara luar seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.

“Untuk (mereka) mempamerkan khazanah warisan budaya masing-masing” jelasnya yang juga ADUN Kubang Rotan di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat bersama jabatan dan agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan kelancaran program berkenaan.

TOK akan diisi dengan pelbagai acara dan termasuk pameran 1,000 Tanjak melibatkan negara luar seperti Indonesia, Thailand dan Singapura selain Malaysia sendiri.

Kepada peminat seni mempertahankan diri, mereka juga akan berpeluang menyaksikan persembahan Himpunan Antarabangsa Silat Negeri Kedah sempena temasya tersebut.

Temasya itu akan dimeriahkan lagi dengan persembahan kesenian,TOK@Fantastic Food Fest, Arts Interactive, Malam Sentuhan Rohani dan lain-lain.

“Saya percaya ‘Temasya Oghang Kedah’ akan  menyemarakkan lagi sambutan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025-2026,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 24/7/2024

- Advertisement -