KUALA LUMPUR: Isu syarikat arak menaja Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menjadi hangat apabila ada pimpinan PAS menegur kehadiran seorang Ahli Parlimen Melayu yang juga Timbalan Menteri dalam satu majlis berkaitan.
Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, diberi teguran itu kerana sebagai seorang pemimpin Islam tidak wajar berada sebagai tetamu dalam majlis seumpama itu.
Apatah lagi katanya, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga turut melarang sebarang penajaan dari syarikat yang terlibat dalam aktiviti arak sebagaimana pekeliling rasmi pernah diperintahkan sejak tahun 2018 lagi.
“Teguran itu bukannya mahu menafikan hak SJKC mencari biaya bagi menampung tabung sekolah.
“PAS sedar bukan sahaja SJKC, malah banyak sekolah kerajaan yang tidak sempurna atau usang lantaran kekurangan dana atau peruntukkan dari kerajaan.
“Sebarang inisiatif pihak sekolah untuk mendapatkan dana adalah digalakkan tetapi perlulah nenatuhi garis panduan KPM,” ujar beliau dalam kenyataan terkini di media sosialnya, hari ini.
Menurut Roslan, beliau terbaca kenyataan seorang aktivis pendidikan Cina yang juga bekas Ahli Parlimen dan bekas pemimpin DAP, Dr Kua Kia Soong yang menyentuh isu penajaan arak di SJKC ini sebagaimana dilaporkan Free Malaysia Today (FMT).
Kata Kua, sebagaimana yang dirujuk Roslan dari laporan itu, bahawa rakan sekerjanya di Dong Jiao Zong boleh memberitahu yang beliau sejak tahun 80-an tidak pernah meluluskan pengumpulan dana oleh kilang arak di sekolah mereka.
“Ini kerana saya fikir menggalakkan penggunaan alkohol di sekolah bertentangan dengan nilai sihat yang cuba dipromosikan oleh sekolah. Dan sekolah Cina sentiasa berbangga dengan nilai-nilai yang kami cuba terapkan,” ujar Kua.
Kua yang berjuang untuk mempertahankan hak belajar bahasa ibunda ini, ujar Roslan lagi, adalah seorang aktivis yang dikenali malah pernah ditahan di bawah ISA kerana perjuangan beliau, tapi dalam bab penajaan syarikat arak ini sikap beliau jelas dan tegas.
Kua sebagaimana laporan itu turut membuat kesimpulan yang dipetik Roslan dengan berkata bahawa ‘membenarkan kilang arak mengiklankan aktiviti pengumpulan dana mereka untuk sekolah adalah bermasalah’.
“Ini kerana ia menghantar mesej bercanggah tentang pengambilan alkohol, mempengaruhi persepsi kanak-kanak secara negatif, dan menjejaskan piawaian etika yang diharapkan daripada institusi pendidikan,” tehasnya.
Malah Dr Kua tambah Roslan lagi, mendesak agar pembiayaan sekolah-sekolah ini adalah tanggungjawab kerajaan.
“Sebagaimana cadangan PAS melalui Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Halimah Ali agar kerajaan menggalakkan lebih banyak syarikat korporat yang tiada kaitan dengan larangan KPM menyalurkan CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) mereka ke semua jenis sekolah yang memerlukan.
“Jangan ‘spin’ (putar belit) isu ini. Semua pihak perlu bertanggungjawab,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!