SHAH ALAM: Seorang pemandu kereta jenis Perodua Kembara yang membawa wang tunai sebanyak RM200,000 terpaksa berputih mata apabila disamun oleh segerombolan lelaki, ketika dia berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dalam kenyataannya berkata, insiden berlaku selepas tular di laman sosial Facebook yang dirakam kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi satu minit kereta seorang pengguna jalan raya.
Menerusi rakaman tersebut, menunjukkan sebuah motosikal dinaiki oleh dua orang lelaki yang memakai topi keledar telah berhenti di sebelah kereta mangsa dan diikuti sebuah kereta Perodua Alza yang bertindak menghalang laluan dengan memintas sebahagaian hadapan kereta mangsa.
“Suspek yang membonceng motosikal telah pergi ke arah kereta mangsa lalu memecahkan cermin sebelah pemandu dengan sebilah kapak dan bertindak mencabut kunci kereta bagi menghalang mangsa melarikan diri.
“Seorang lagi rakan suspek yang menaiki Perodua Alza telah membuka pintu penumpang hadapan kereta mangsa sebelum melarikan beg yang mengandungi wang tunai RM200,000,” ujar kenyataan itu.
Menurut kenyataan polis itu lagi, wang tunai milik syarikat mangsa itu baru dikeluarkan dari sebuah bank berdekatan.
“Namun begitu, mangsa tidak mengalami kecederaan dan semakan polis mendapati nombor pendaftaram Perodua Alza yang digunakan suspek adalah palsu,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 24/7/2024