PAS Kawasan Kangar kehilangan amilin istiqamah

- Advertisement -

KANGAR: PAS Kawasan Kangar kehilangan amilin istiqamah, Nordin Othman, 52, yang merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Taman Dato’ Jaafar.

- Advertisement -

Allahyarham terlibat dalam satu kemalangan dan disahkan maut di tempat kejadian dalam tragedi yang berlaku di Jalan Kampung Darat, Beseri, Padang Besar, pagi tadi.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar, Ustaz Yussaine Yahya berkata, Allahyarham adalah seorang yang komited dalam menjalankan tugas dan aktiviti jemaah PAS.

“Kita kehilangan seorang yang istiqamah dalam perjuangan dan memberi khidmat kepada PAS. Semoga segala kebaikan Allahyarham akan dinilai oleh Allah dan ditempatkan bersama orang beriman, insya-Allah di syurga,” katanya kepada _Harakahdaily_.

Nordin seorang yang aktif dalam perjuangan PAS dan merupakan mantan Timbalan Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Islam (SRI) At-Taqwa.

Beliau telah memainkan peranan penting dalam menjayakan pelbagai program pendidikan di sekolah tersebut.

PAS Negeri Perlis dalam pada itu merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham dan menyifatkan pemergiannya merupakan satu kehilangan yang besar.

“Semasa hayat, Allahyarham adalah aktivis yang komited dengan PAS dan pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha PASTI Negeri Perlis dan lain-lain lagi.

“Allahyarham juga merupakan suami kepada Puan Noorishah Zakaria, guru PASTI Al-Muttaqin Kangar. Didoakan semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” ujar kenyataan itu.

Jenazah kini berada di Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah untuk proses lanjutan dan dijangka disolatkan serta dikebumikan selepas Asar di tanah perkuburan Kompleks Dakwah dan Tarbiyyah MATIN, di sini, hari ini. – HARAKAHDAILY 24/7/2024