KUANTAN: Jelajah PAS teraju Pahang (PTP) nampaknya mencetuskan kebimbangan pemimpin kerajaan berikutan kesiapsiagaan yang ditunjukkan oleh PAS dan Perikatan Nasional (PN) untuk menerajui negeri itu pada pilihan raya akan datang.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, selepas siri ketiga jelajah itu dilaksanakan, pemimpin Barisan Nasional (BN) tiba-tiba mengeluarkan satu penafian mengenai sebarang perbincangan diantara mereka dan pimpinan PN Pahang.
“Adakah BN Pahang terasa akan bahang jelajah yang sedang berjalan sehingga terpaksa melontarkan cerita-cerita sebegini untuk melegakan hati yang gundah itu?
“Ataupun ada komplot dalaman BN dan Umno Pahang yang sedang bekerja untuk menaikkan dan menjatuhkan warlord masing-masing sementelah mereka kini dalam fasa Perhimpunan Agung di bahagian masing-masing?
“Apa-apa pun yang berlaku, saya melihat di Negeri Pahang ini bagaimana YB-YB PAS dan PN bekerja tanpa peruntukan berkhidmat kepada rakyat sebagai bukti dan komitmen jelas yang PAS dan PN Pahang bersedia menerajui Kerajaan Pahang pada PRU-16 nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, program jelajah itu merupakan gerakan pimpinan bersama masyarakat membawa penerangan dan mesej jelas kesiapsiagaan PAS dan PN Pahang untuk menerajui kerajaan Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Melalui jelajah ini, antara mesej yang dibawa tekad, iltizam dan mesej yang jelas mengenai kerangka dan senario politik hari ini dan impak serta kesan jika politik berlandaskan islam tidak diangkat menerajui sesebuah kerajaan,” ujarnya.
Beliau percaya dengan iltizam dan kerja buat yang berterusan tiada yang mustahil bagi PAS dan PN Pahang untuk menerajui Kerajaan Pahang pada PRU-16 nanti.
“Sedikit kemusykilan, memang perlu ke untuk nampak sesuatu untuk nampak isu yang di bawa itu diterima oleh masyarakat perlu “mention” PAS ataupun PN?,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!