Angkara bomoh…

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim menceritakan mengenai seorang hamba Allah yang badannya sering sakit.

- Advertisement -

Katanya, apabila dipanggil bomoh datang ke rumah, lalu bomoh mengatakan pesakit itu terkena buatan jiran dengan menyebut namanya.

“Ada kes nyata dalam masyarakat. Seorang yang selalu sakit-sakit tubuh. Panggil bomoh mari rumah.

“Bomoh kata terkena buatan jiran nama si polan bin si polan. Berbalahlah hamba Allah ini dengan jiran berpuluh tahun,” ujarnya dalam satu hantaran menerusi laman sosial beliau.

Tambahnya, apabila disiasat, penyakit yang dihadapi hamba Allah itu berpunca daripada menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik

“Bila disiasat, sakit tubuh sebenarnya berpunca dari hobi hamba Allah ini suka karan ikan. Berjalan dalam air sambil karan ikan.

“Dia tak sedar kesan karan turut mengalir dalam tubuhnya walaupun tak jadi macam ikan,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu.

Beliau mengetengahkan perkara itu susulan sikap anggota masyarakat yang berjumpa bomoh apabila kehilangan barang.

“Hilang barang jumpa bomoh. Bomoh bagi gambaran wajah pencuri. Ada ketikanya sebut nama yang dituduh. Percaya bulat-bulat kepada bomoh,” katanya.

Menurut beliau, ini menyebabkan yang dituduh diazab sehingga cedera parah yang membawa kepada kematian.

Justeru, ujarnya angkara bomoh pelbagai petaka telah berlaku dalam masyarakat.

“Apa hukumnya orang yang mendatangi bomoh dan percaya kepada kehebatan bomoh?” tanya beliau selanjutnya. – HARAKAHDAILY 24/7/2024

- Advertisement -