KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada dua atlet dari negeri ini yang mewakili negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Insya-Allah, dua insan yang berasal dari Terengganu, Dato’ Mohd Azizulhasni Awang dan Nur Aisyah Mohamad Zubir bakal mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 masing-masing dalam acara berbasikal dan acara berbasikal lebuh raya wanita,” ujarnya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, malam tadi.
Katanya, lebih membanggakan lagi, Nur Aisyah merupakan pelumba wanita pertama negara yang layak ke Olimpik dalam acara berbasikal lebuh raya wanita.
“Tahniah atas kejayaan untuk sampai ke tahap ini yang sudah tentu hasil usaha, disiplin dan komitmen yang luar biasa daripada kalian.
“Insya-Allah, setiap langkah dan larian anda, ada doa dan sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia. Selamat maju jaya,” katanya lagi.
Sementara itu, kontinjen negara ke Paris yang diketuai Datuk Hamidin Mohd Amin terdiri daripada 26 atlet dan 40 pegawai termasuk 15 pakar teknikal, 11 kakitangan sokongan, sembilan pengurusan dan sekretariat serta lima pengurus pasukan.
Penyertaan atlet negara membabitkan sembilan jenis sukan seperti akuatik terjun dan renang, pelayaran, menembak, berbasikal trek dan lebuhraya, angkat berat, badminton, golf, memanah dan olahraga.
Sukan Olimpik Paris 2024 adalah edisi ke-30 yang bermula 26 Julai sehingga 11 Ogos. – HARAKAHDAILY 23/7/2024