KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang kesal dengan sikap sebahagian agamawan yang terlalu cepat mengulas tanpa melihat secara holistik berkenaan bacaan doa qunut nazilah di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Ketua Ulamak PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajuddin Abu Bakar berkata, isu ini perlu dilihat secara adil dan rasional serta tidak wajar dinilai dari sudut perbezaan pandangan politik atau tekanan mana-mana pihak berkepentingan.
Menurutnya, tuduhan bahawa doa tersebut adalah qunut nazilah yang ditujukan khusus kepada pihak di blok kerajaan perlu dikaji terlebih dahulu dan dirujuk kepada pihak yang mendoakan tersebut.
“Hal ini kerana tujuan atau niat lebih diketahui oleh pihak yang melakukan sesuatu perkara itu,” ujar beliau dalam satu kenyataan kepada media,.hari ini.
Menurut Tajuddin, setelah mendengar penjelasan daripada Ahli Parlimen Machang dan Ahli Parlimen Jasin, pihaknya mendapati bahawa doa tersebut bukanlah qunut nazilah yang ditujukan kepada pihak di blok kerajaan.
“Sebaliknya ia ditujukan kepada sebuah syarikat pro-Zionis iaitu BlackRock yang terlibat dalam genosid di bumi Palestin.
“Selain itu, cara doa tersebut dilafazkan juga adalah berbentuk umum tanpa menyebutkan nama pihak yang didoakan.
“Umum mengetahui bahawa kaifiat untuk qunut nazilah juga dilakukan di dalam solat fardhu iaitu selepas rukuk pada rakaat terakhir. Sewajarnya jika terdapat kekhilafan dalam menafsirkan sesuatu perbuatan, maka penjelasan pihak yang melakukannya perlu didengar terlebih dahulu,” katanya.
Beliau menegaskan lagi, berkenaan isu penjualan saham MAHB sebanyak 30 peratus kepada syarikat asing yang dimaklumi terlibat dengan genosid, pihaknya merasakan persoalan ini lebih utama diberikan fokus oleh semua.
“Golongan agamawan yang sepatutnya meneladani sikap cakna dan berani para salaf al-salih dalam menegur pemerintah, seterusnya bersama-sama melaksanakan al-amr bi al-makruf wa al-nahy ‘an al-munkar
“(Iaitulah) secara adil tanpa tekanan dan pengaruh mana-mana pihak yang berkepentingan demi mengekalkan kuasa mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2024