Saksi: Apabila keterangan ibu bapa, kanak-kanak bercanggah

Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penggunaan budi bicara penting dalam menilai kebolehpercayaan saksi kanak-kanak dan menentukan nilai keterangan berdasarkan kes khusus.

- Advertisement -

Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff berkata, setiap saksi kanak-kanak perlu diberi perlakuan yang sama rata sama ada mereka memberi keterangan secara bersumpah atau tidak, untuk memastikan perlindungan yang lebih baik terhadap saksi kanak-kanak dalam proses kehakiman.

“Contohnya, apabila terdapat percanggahan keterangan antara saksi kanak-kanak dan ibu bapa, seperti dalam kes Zayn Rayyan,” ujarnya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Keterangan Saksi Kanak-kanak (Pindaan 2024) di Dewan Negara, hari ini.

Beliau juga memberi penekanan kepada keperluan peluasan skop Akta 676 sebagai undang-undang utama yang mengatur keterangan saksi kanak-kanak, dengan tujuan memastikan perlindungan menyeluruh terhadap hak kanak-kanak.

“Ini termasuk memastikan hak kanak-kanak untuk mendapat perbicaraan yang adil dan saksama di bawah sistem perundangan, serta hak untuk memberi keterangan dalam mana-mana prosiding atau perbicaraan, sejajar dengan Artikel 12 Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC),” katanya.

Wan Martina turut menyentuh beberapa isu penting berkenaan mekanisme penilaian dalam kes-kes yang melibatkan saksi kanak-kanak, termasuk bagaimana membezakan antara saksi yang merupakan pemerhati kejadian dengan mereka yang sebenarnya mangsa dalam kes gangguan seksual.

Beliau mengemukakan keperluan untuk pindaan itu mengambil kira konteks ancaman jenayah siber yang semakin meningkat, termasuk penderaan seksual kanak-kanak dalam talian dengan merujuk kepada amalan terbaik di peringkat global.

“Dalam konteks isu penderaan kanak-kanak dan jenayah terhadap mereka yang semakin meruncing, kementerian perlu merangka strategi khusus untuk mengesan dan mengenal pasti mangsa yang enggan membuat laporan, terutama dalam kes yang melibatkan ahli keluarga terdekat, supaya pelaku tidak dapat terlepas daripada hukuman yang setimpal,” tambah beliau.

Wan Martina menegaskan bahawa pindaan tersebut penting untuk memastikan setiap aspek dipertimbangkan dengan teliti demi memperbaiki sistem perlindungan dan sokongan bagi saksi kanak-kanak dalam proses kehakiman di Malaysia. – HARAKAHDAILY 23/7/2024

- Advertisement -