KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menghentikan tugas sementara empat loji rawatan air berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah.
Empat loji rawatan air tersebut ialah Loji Rawatan Air Rantau Panjang (LRA Rantau Panjang) serta Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3).
Sementara itu, tujuh wilayah Air Selangor telah mula mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula dari Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.
Notis pemakluman itu dikongsi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi media sosial milik mereka pada 23 Julai 2024.
“Senarai kawasan yang terjejas juga akan dikongsi dalam masa terdekat.
“Air Selangor juga sedang berusaha sedaya upaya untuk meminimumkan impak kepada para pengguna,” katanya.
Sejajar dengan itu, bantuan alternatif melalui lori-lori tangki air akan digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas, dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya.
Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/. – HARAKAHDAILY 22/7/2024