KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilaporkan bertindak menyiasat isu tular mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) yang menerima sumbangan daripada syarikat arak telah meraih reaksi sinis Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir.
“KPM ini kadang-kadang tindakannya melucukan. Yang berlaku dalam kelambu sendiri tak kan tak sedar. Tanda-tanda kelemahan pengurusan tu.
“Seingat saya di SJKC ini amalan biasa, tambahan dengan keghairahan pimpinan DAP dalam kerajaan yang mahu melebarkan pengaruh masing-masing di SJKC seluruh negara,” katanya di Facebook miliknya, hari ini.
Menurut beliau, sebenarnya sudah wujud Surat Pekeliling Ikhtisas Bahagian 3 Tahun 2018 yang melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras di institusi pendidikan KPM atas sebab ‘boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani’.
“Rupa-rupanya telah ada Surat Pekeliling Ikhtisas yang melarang (sumbangan tajaan hasil aktiviti minuman keras). Tak kan pimpinan politik dalam kerajaan tidak tahu?
“Terutama dari DAP atau mungkin kerana mereka kini parti terbesar dalam kerajaan, jadi apa sahaja (surat) pekeliling yang mengehadkan pengaruh dan agenda mereka akan dilanggar.
“Saya jangka apabila bertembung dengan kepentingan DAP, kes ni selesailah, maklumlah (DAP) parti tulang belakang kerajaan hari ini. Mungkin kawan-kawan dalam Umno boleh tolong cubit,” ujarnya.
Sementara ahli akademik, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusoff yang juga Pakar Perlembagaan Persekutuan dalam pada itu turut memberi reaksi peribadi menerusi laman media sosial miliknya terhadap isu berkenaan MP berkenaan.
“(Ini) Bukan soal sensitiviti orang lain yang lihat gambar kamu pegang replika cek logo arak, tetapi soal sensitiviti kamu sendiri sebagai pemimpin Islam yang terpalit promosi arak. Siap angkat tangan simbol best (bagus) lagi.
“Moga ada rakan-rakan yang tegur perkara begini. Berpolitik biar ada sempadannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2024