Guru PASTI ajar akademik, jadi jurulatih sukan

Jamil Khamis
- Advertisement -

KANGAR: Guru-guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) bukan sahaja cemerlang dalam mengajar akademik, malah turut berjaya melatih pelajar dalam bidang sukan seperti bola sepak dan bola jaring.

- Advertisement -

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar, Jamil Khamis menyuarakan rasa kagumnya terhadap dedikasi para guru yang tidak hanya menumpukan pada bidang akademik tetapi juga melatih anak-anak dalam sukan.

“Guru PASTI bukan hanya pandai mengajar di kelas, malah pandai juga melatih anak-anak bermain bola sepak dan bola jaring. Saya amat terharu bagi pihak PAS Kawasan Kangar dengan komitmen yang diberikan,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring PAS Kawasan Kangar yang berlangsung di D’ Futsal Center, di sini semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong, Ustaz Fakhrul Anwar Ismail juga turut memuji usaha gigih serta bimbingan guru-guru dalam melatih pelajar.

“Guru-guru PASTI memiliki semangat yang tinggi dan tahniah kepada guru yang banyak memberi pendedahan kepada anak-anak murid,” katanya.

Beliau dalam ucapannya itu turut menekankan kepentingan menggunakan masa dengan sebaiknya supaya tidak terpengaruh dengan budaya masa kini yang menjauhkan daripada aktiviti bermanfaat.

“Guna masa dengan sebaiknya jangan terpengaruh dengan budaya masa kini yang menjauhkan dari aktiviti yang bermanfaat,” tambahnya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil yang juga Adun Kayang dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kangar, Ustazah Ummu Tasneem dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar, Azizi Syam.

Fakhrul Anwar menegaskan bahawa pertandingan tersebut merupakan satu penghargaan kepada usaha dan komitmen para guru yang tidak hanya menumpukan pada bidang akademik tetapi juga dalam melatih pelajar dalam aktiviti sukan dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

- Advertisement -