KUALA KEDAH: Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Kedah kehilangan seorang amilat istiqamah, Che Sempawan Awang yang telah kembali ke rahmatullah pada petang semalam.
Allahyarhamah yang merupakan Ketua Halwa Jabatan Pilihan Raya DUN (JPrD) Pengkalan Kundur itu menghembuskan nafas terakhirnya sebaik sahaja tiba di kediaman beliau di Kampung Permatang Bongor, di sini selepas pulang dari Hospital Pendang.
Ketua Muslimat PAS Kuala Kedah, Ustazah Fauziah@Azizah Abdullah sehubungan itumengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah atas pemergian tersebut dengan menyifatkan Sempawan seorang yang komited dengan tugasannya.
“Arwah bukan sahaja seorang Ketua (Halwa) yang komited malah penggerak PAS Cawangan Permatang Bongor dan banyak membawa kemajuan kepada PAS cawangan itu,” katanya kepada Harakahdaily.
Difahamkan, Sempawan dimasukkan ke Hospital Pendang berikutan mengalami sesak nafas sejak Rabu minggu lalu.
Jenazah dijangka akan dikebumikan pada jam 11:00 pagi ini, di Masjid Permatang Bongor. – HARAKAHDAILY 22/7/2024