KUALA LUMPUR: Keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr Johari Abdul menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri persidangan selama enam bulan mencetuskan kontroversi dan reaksi pelbagai pihak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh, berkata tindakan Yang di-Pertua tersebut dilihat sangat tidak adil dan bertentangan dengan prinsip demokrasi yang dijunjung tinggi.
“Tindakan menggantung seorang wakil rakyat daripada menjalankan tugasnya di Dewan Rakyat adalah langkah yang drastik dan seharusnya dilakukan dengan penuh pertimbangan.
“Apabila Speaker menafikan hak Ahli Parlimen Machang untuk membela diri adalah satu kezaliman kepada demokrasi rakyat. Wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk menyuarakan isu dan kepentingan mereka di Parlimen.
“Menggantung Yang Berhormat Wan Fayshal tanpa alasan yang kukuh dan jelas menafikan hak rakyat untuk diwakili dalam perbincangan dan keputusan penting negara,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, tadi.
Nurul yang juga Ketua Penerangan Srikandi Bersatu berkata, tindakan ini dilihat sebagai satu bentuk penindasan politik yang boleh menjejaskan kebebasan bersuara dan berdebat di dalam Parlimen.
“Dewan Rakyat seharusnya menjadi medan perbincangan terbuka dan telus, di mana wakil rakyat bebas untuk menyuarakan pandangan dan kritikan mereka.
“Menggantung seorang wakil rakyat kerana menyuarakan pandangan yang berbeza adalah satu tindakan yang tidak demokratik dan mencemar imej Parlimen sebagai institusi tertinggi negara.
“Bagi saya, persoalan atau isu yang dibawa ke dalam Dewan Yang Mulia haruslah dibincangkan dan menteri terbabit haruslah menjawab setelah siasatan dibuat secara menyeluruh,” katanya.
Selain itu, Nurul berkata, keputusan Yang di-Pertua ini juga boleh mencetuskan ketidakpuasan dan rasa tidak adil di kalangan rakyat kerana mengharapkan wakil mereka untuk berani bersuara dan mempertahankan hak, bukan untuk disekat atau didiamkan.
Hal demikian, boleh mengikis kepercayaan rakyat terhadap institusi Parlimen dan proses demokrasi negara.
“Sebagai wakil rakyat yang prihatin terhadap keadilan dan kebebasan bersuara, saya mengecam tindakan Speaker ini dan menperingatkan Speaker agar berlaku adil dan tidak bertindak berat sebelah.
“Parlimen harus memastikan wakil rakyat mempunyai ruang yang adil dan bebas untuk menjalankan tugas. Kita harus berusaha memupuk budaya perbincangan yang sihat dan konstruktif, bukannya menyekat suara yang tidak sehaluan,” katanya.
Beliau juga menyeru agar semua pihak dapat bertindak dengan seadilnya dan memperingatkan agar suara kepimpinan muda ini jangan dipandang enteng.
“Kita semua perlu ingat bahawa Parlimen adalah milik rakyat dan wakil rakyat di dalamnya berkhidmat untuk kepentingan rakyat.
“Marilah kita bersama-sama mempertahankan prinsip demokrasi dan memastikan Parlimen kekal sebagai institusi yang telus, adil, dan berwibawa.
“Sudahlah mulut rakyat ditutup, jangan nafikan hak kami membawa suara rakyat ke Dewan Parlimen dan Dun,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 21/7/2024