Bahaya bina persepsi doa sebagai perbuatan negatif

- Advertisement -

PARIT SULONG: Tindakan sesetengah pihak cuba membina persepsi bahawa berdoa adalah suatu tindakan atau perbuatan yang negatif adalah suatu pemikiran berbahaya kepada umat Islam.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, hakikatnya doa adalah suatu pergantungan diri orang-orang beriman yang menunjukkan keyakinan mereka kepada kekuasaan Allah SWT.

“Malangnya kita berdepan dengan satu kerajaan yang mereka ini memandang doa itu sebagai suatu yang negatif. Mereka melihat apabila orang berdoa, maka berdoa ini (seolah-olah) untuk menghancurkan mereka.

“Doa itu maksud mereka untuk nak cari gaduh, maka berdoa itu maksudnya untuk menzahirkan sifat ekstrem dan sebagainya. Ini penyakit yang sedang ditabur dalam negara ini oleh kerajaan yang memerintah. Ini sangat berbahaya!” ujar beliau.

Jelasnya, menjadi suatu pegangan umat Islam dan akidah mereka bahawa bersandar kepada Allah SWT diterjemahkan dengan doa yang dilantunkan kepada Allah pada semua keadaan dan ketika.

“Golongan yang beriman itu akan meminta dan memohon doa dari Allah kerana Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Maka sandaran setelah berusaha ialah kepada Allah SWT.

“Golongan yang beriman yakin walau apapun situasi dan keadaan dengan doa, maka akan datang bantuan dan pertolongan Allah SWT itu. Ini adalah perkara yang sangat asas yang diajarkan oleh Islam,” kata beliau.

Tuan Guru Zulkifli yang juga Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat berkata demikian dalam Ceramah Perdana Jelajah Selamatkan Malaysia di Markas PAS Parit Warijo, Sri Medan, di sini malam tadi.

Justeru katanya, apabila seseorang umat Islam itu mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah SWT, perkara pertama sekali yang mendorong mereka ke arah itu ialah keimanan kepada Allah iaitu keyakinan mereka kepada kekuasaan-Nya.

“Perkara pertama sekali yang datang ketika kita mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah, bahawa Allah berkuasa untuk membetulkan keadaan dan menolak kezaliman.

“Kerana iktikad ini, keyakinan kepada Allah yang maha berkuasa ini maka kita berdoa. Dalam semua keadaan kita berdoa kepada Allah SWT. Setelah kita berikhtiar kita berdoa. Sebelum kita berikhtiar kita berdoa.

“Sedang melakukan usaha dan ikhtiar kita berdoa kepada Allah SWT. Ini orang Melayu Islam faham sangat dan pegang sangat daripada dulu sampai hari ini,” katanya.

Beliau menyatakan perkara tersebut sebagai mengulas kecaman daripada beberapa pemimpin Kerajaan Madani berkaitan tindakan melantunkan doa Qunut Nazilah di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku sebaik sahaja Dewan Rakyat meluluskan usul menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal akibat satu pendedahan maklumat dibuat tokoh politik muda itu.

Wan Ahmad Fayhsal di dewan yang sama sebelum itu mendedahkan isu penjualan 30 peratus saham Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB) kepada GIP-BlackRock.

“Maka apabila selesai daripada sesi Dewan Rakyat kami beramai-ramai berdoa kepada Allah SWT dengan keyakinan bahawa apabila kita sudah berikhtiar dan berusaha membawa suara rakyat dan suara rakyat ini tidak didengar.

“Maka kita mengangkat tangan berdoa kepada Allah SWT agar Allah menghancurkan Zionis, memberi pertolongan kepada umat Islam Palestin. Maka kita baca doa yang terbaik yang diajar oleh Nabi kita Nabi Muhammad SAW iaitu doa Qunut Nazilah,” katanya.

Jelas beliau, doa itu dibaca untuk memohon kepada Allah SWT sebagai menyatakan kebimbangan dan keprihatinan Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional kerana situasi merbahaya.

Iaitulah jelasnya, akibat langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan yang memberikan 30 peratus saham MAHB kepada entiti Zionis.

Turut berucap di dalam program yang sama ialah Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussin dan ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis serta Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, Che’gu Bard dan mantan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil. – HARAKAHDAILY 20/7/2024

- Advertisement -