ALOR SETAR: Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Kedah, K.Kumaresan menafi keras dakwaan pihak tertentu kononnya judi adalah hak orang bukan-Islam.
Katanya, judi ini dilarang oleh agama Hindu dan bukan juga hak mana-mana individu yang ingin libatkan diri.
“Tidak ada mana-mana kitab agama Hindu membenarkan penganutnya untuk bermain judi. Saya pasti agama lain juga tidak membenarkan
penganutnya bermain judi,” katanya.
Justeru tegasnya, tindakan kerajaan negeri menutup premis judi di Kedah yang bermula tahun lalu, merupakan langkah bijak untuk menangani masalah sosial akibat ketagihan judi.
Ketagihan judi tambah beliau, membawa kebinasaan kepada semua orang tanpa memilih agama dan bangsa.
Mengulas lanjut Kumaresan berkata, sebaiknya kerajaan dan pemimpin Madani memberi fokus lain kepada kebajikan kaum bukan-Melayu bukannya berjuang untuk hak bermain judi.
“Contohnya hak kaum bukan-Melayu dalam pendidikan, pekerjaan, bantuan perniagaan dan lain-lain. Rungutan kaum bukan Melayu kerap diabaikan. Malah tiada seorang pun menteri dilantik mewakili kaum India,” luahnya lagi.
Sepatutnya kata beliau, Kerajaan Persekutuan perlu melihat kesan-kesan negatif judi pada institusi keluarga, masalah rumahtangga, gangsterisme, ketagihan alkohol dan lain-lain.
Juga ujarnya, sama ada yang melibatkan remaja mahupun orang dewasa dari kalangan bukan-Islam dan banyak lagi masalah sosial lain.
“Bukannya perjuang hak perjudian, sedangkan judi hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja. Saya tidak pernah melihat atau mendengar seseorang itu berjaya dalam kehidupan dengan menang judi.
“Oleh itu tindakan yang dilakukan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk menjadikan Kedah bebas judi patut disokong,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 18/7/2024