Skim Beras Al-It’aam ringan beban penduduk miskin

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Bantuan Skim Beras Al-It’aam yang disumbang kerajaan negeri sejak tahun 2011 sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan penduduk miskin.

- Advertisement -

Seramai 300 penduduk miskin di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima sumbangan beras tersebut seberat 10 kilogram setiap bulan.

ADUN Gaal, Mohd Rodzi Ja’afar berkata, bantuan beras Al It’aam dapat membantu bebanan penduduk miskin yang terkesan ekoran kenaikan harga beras sejak September tahun lepas. 

Katanya, beras tempatan yang agak murah sebelum ini sudah melonjak harga sama dengan beras import sekarang.

“Isu tersebut masih gagal diselesaikan kerajaan Madani sehingga sekarang,” katanya selepas majlis agihan Skim Beras Al-It’aam di sini semalam.

Pada program itu seramai 300 penduduk menerima beras Al It’aam. Mereka juga menerima sepaket gula.

Selain itu bantuan kepada 21 armalah, bantuan sakit kronik melibatkan 8 pesakit, Skim Az-Ziwaaj (3 pasangan pengantin) dan bantuan baja organik 51 usahawan tani membabitkan 353 beg.

Mohd Rodzi juga berkata, Kelantan dikenali sebagai negeri berkebajikan memandangkan banyak bantuan diagih kepada rakyat sejak berpuluh tahun lalu.

Menurutnya pelbagai lagi bantuan diperkenalkan kerajaan negeri termasuk Skim Kifaalah sebanyak RM1,000 diagih kepada keluarga warga emas yang meninggal dunia.

Selain itu bantuan rumah dhuafat, dividen Ladang Rakyat, saguhati pelajar berjaya melanjut pengajian ke institusi pengajian tinggi, bantuan OKU dan pelbagai lagi. – HARAKAHDAILY 18/7/2024

- Advertisement -