CARACAS: Ketua keselamatan pemimpin pembangkang Venezuela, Milciades Avila telah ditangkap pada awal Rabu, kurang dua minggu sebelum negara itu mengadakan pilihan raya presiden.
Penangkapan yang dilakukan itu telah meningkatkan lagi kebimbangan bahawa negara Amerika Selatan itu tidak akan mengadakan pilihan raya presiden yang adil pada 28 Julai ini, ketika penyandangnya Nicolas Maduro cuba untuk mengekalkan jawatannya bagi penggal ketiga, lapor The Guardian.
Pemimpin pembangkang, María Corina Machado yang dikenali sebagai seorang yang lantang bersuara, menulis di laman X beliau bahawa ketua keselamatannya telah ditangkap dalam siri penangkapan aktivis dan kakitangan pembangkang yang dilakukan oleh pihak kerajaan.
“Saya memberi amaran kepada dunia tentang peningkatan penindasan Maduro terhadap mereka yang bekerja dalam kempen atau membantu kami di mana-mana bahagian negara. Avila telah menemani saya di seluruh negara dan mempertaruhkan nyawanya untuk mempertahankan saya,” katanya di laman X beliau.
Machado sendiri sebelum ini telah dihalang daripada bertanding oleh keputusan mahkamah berhubung dakwaan penipuan, yang kemudiannya dinafikan oleh beliau. Machado juga cuba untuk melantik pengganti, namun mahkamah turut menyekat permintaan tersebut.
Sejak itu, pihaknya telah mengadakan kempen bagi menyokong calon yang merupakan bekas diplomat, Edmundo Gonzalez yang ketika ini mendahului dalam tinjauan pendapat yang dilakukan.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Venezuela, Foro Pena melaporkan bahawa, pada tahun ini sahaja, pihak berkuasa Venezuela telah menahan seramai 102 orang yang dikaitkan dengan kempen Edmundo Gonzalez.
Naib Presidennya, Gonzalo Himiob Santome, berkata bahawa penahanan itu mencerminkan corak tindakan yang jelas terhadap aktivis, militan, dan juga kolaborator atau individu yang memberikan perkhidmatan mereka kepada pemimpin pembangkang.
“Ini merupakan petunjuk yang serius dan jelas bahawa sekatan yang sistematik dan meluas sedang dilaksanakan daripada kuasa terhadap rakyat kerana identiti khusus sekumpulan rakyat yang mengenal pasti dengan pilihan politik yang dicadangkan oleh María Corina Machado dan Edmundo Gonzalez,” katanya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 18/7/2024