MUSCAT: Enam orang, termasuk seorang anggota polis terbunuh dan 28 yang lain cedera dalam serangan tembakan berhampiran masjid di ibu kota Oman, di sini.
Pihak berkuasa Oman dalam kenyataannya pada Rabu berkata, tiga penyerang itu turut dibunuh oleh pasukan keselamatan dalam kejadian di kawasan al-Wadi al-Kabir pada malam Isnin (15 Julai) itu, lapor BBC.
Bagaimanapun pihak polis belum memberikan butiran mengenai identiti terperinci mangsa-mangsa dan tiga lelaki bersenjata itu, atau motif serangan.
Namun, kerajaan Pakistan berkata, empat warganya adalah antara yang terbunuh dalam apa yang dilabelkan sebagai ‘serangan pengganas’ ke atas Masjid Imam Ali itu, sementara India juga mengesahkan salah seorang rakyatnya terbunuh.
Sementara video tular menunjukkan orang ramai berlari mencari perlindungan di dalam halaman masjid berkenaan ketika bunyi tembakan kedengaran, loaksi mereka sebelum itu pada malam hari sambutan Asyura.
Kenyataan polis merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berkata siasatan terhadap keadaan kejadian itu sedang dijalankan.
Ia juga menekankan ‘keperluan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan mengabaikan maklumat yang tidak boleh dipercayai’.
Sementara Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dalam kenyataannya berkata, beliau ‘sangat sedih’ dengan serangan itu dan bahawa hatinya bersimpati ‘kepada keluarga mangsa’.
“Saya telah mengarahkan kedutaan Pakistan di Muscat untuk menghulurkan semua bantuan yang mungkin kepada mereka yang cedera dan melawat mangsa di hospital secara peribadi,” tulisnya di X.
“Pakistan berdiri dalam solidariti dengan Kesultanan Oman dan menawarkan bantuan penuh dalam siasatan,” tambahnya.
Kedutaan Pakistan senaraikan nama korban
Dalam pada itu, Kedutaan Pakistan di Muscat menamakan empat warganya yang terbunuh sebagai Ghulam Abbas, Hasan Abbas, Sayyed Qaisar Abbas dan Sulaiman Nawaz.
Ia juga berkata 30 warga Pakistan sedang menerima rawatan di hospital selepas mengalami kecederaan dalam serangan itu.
Pada pagi Selasa, Duta Pakistan, Imran Ali berkata dalam sebuah video bahawa beliau telah melawat sebahagian daripada mereka yang cedera di tiga hospital tempatan dan menggambarkan keadaan mereka sebagai ‘agak stabil’.
Beliau juga menasihatkan penduduk Pakistan di Oman supaya mengelakkan kawsan kejadian di al-Wadi al-Kabir dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.
Ali kemudian memberitahu agensi berita AFP bahawa penyerang pada mulanya melepaskan tembakan dari bangunan bersebelahan masjid, di mana ratusan orang berkumpul untuk menunaikan solat.
“Jemaah kemudian telah ditahan sebagai tebusan oleh penyerang sebelum ‘mereka kemudian dibebaskan oleh tentera Oman,” katanya.
Kedutaan India pula berkata, ia telah dimaklumkan oleh Kementerian Luar Oman bahawa seorang warga India telah terbunuh dan seorang lagi cedera, tanpa mengenal pasti identiti mereka.
Tragegi serangan itu berlaku pada malam hari kesembilan bulan Islam Muharram, ketika umat Islam menghadiri upacara pada malam Asyura.
Asyura adalah peringatan utama kesyahidan Imam Hussein, cucu Nabi Muhammad, dalam pertempuran pada abad ketujuh.
Oman yang sudah lama dilihat sebagai salah satu negara Islam yang paling stabil dan selamat di Timur Tengah.
Ini telah membolehkan negara itu memainkan peranan utama dalam usaha pengantaraan untuk cuba menyelesaikan konflik dan pertikaian di rantau ini.
Kesultanan Teluk itu mempunyai populasi kira-kira 4.6 juta, yang mana lebih daripada 40 peratus daripadanya adalah pekerja asing.
Kerajaan Oman tidak menyiarkan statistik tentang pegangan agama populasinya itu, tetapi Jabatan Negara Amerika Syarikat menganggarkan bahawa 95 peratus penduduknya beragama Islam, manakala bakinya adalah penganut Hindu, Buddha dan Kristian. -Agensi/– HARAKAHDAILY 17/7/2024