Pelabuhan Tumpat rintis limpahan ekonomi di Pantai Timur

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan disaran membuat kajian untuk membina semula Pelabuhan Tumpat dengan mengambil kira perkembangan terkini terusan Segenting Kra di Thailand.

- Advertisement -

Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, kajian bagi membuka semula ‘Tumpat Port’ sebagai satu pelabuhan kontena diyakini boleh memberi limpahan ekonomi di Pantai Timur.

“Kalau di Forest City ada pelabuhan, di Tumpat dicadang diberi perhatian semula cadangan membina Pelabuhan Tumpat,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Zon Bebas (Pindaan) 2024 bagi membolehkan Pulau Satu Forest City ditukar status sebagai kawasan bebas cukai.

Tambah beliau saranan pembinaan Tumpat Port dibuka semula supaya kemajuan di Johor atau selatan Semenanjung boleh dikembang ke Pantai Timur.

Contohnya kata beliau sebuah kampung di China bertukar menjadi metropolis setelah dipacu dengan aktiviti ekonomi berimpak tinggi.

Kata beliau kedudukan geografi Pantai Timur memerlukan fasiliti sepatutnya bagi membolehkan membangun dengan lebih pesat.

“Usaha untuk memajukan zon bebas memerlukan suntikan kerajaan Persekutuan iaitu Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu sampai ke Pengkalan Kubur, Tumpat.

“Kerajaan boleh membantu untuk memastikan zon bebas cukai di tempat-tempat lain juga disediakan kemudahan bagi menggalakkan pelaburan dan pembangunan hotel,” ujarnya.

Oleh itu katanya pembangunan di Pantai Timur perlu diberi perhatian kerajaan seperti projek zon bebas cukai di Forest City. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!