Pan Gon antara jurulatih terbaik – MP Jerantut

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon adalah antara jurulatih terbaik.

- Advertisement -

“Terima kasih KPG. Jasa dan pengorbanan anda untuk Malaysia akan kami ingat sampai bila-bila. 

“Boleh dikatakan antara jurulatih terbaik pernah kita ada setakat ini,” ujarnya dalam satu hantaran di laman sosialnya, semalam.

Justeru, beliau menyifatkan berita Pan Gon meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan sebagai menggemparkan buat peminat bola sepak negara.

Tambahan pula, ujarnya kontrak jurulatih berusia 55 tahun dari Korea Selatan itu sepatutnya berakhir Disember 2025.

Katanya, banyak jasa dan kejayaan Pan Gon untuk bola sepak Malaysia selama memangku jawatan sebagai ketua jurulatih, antaranya berjaya membawa skuad kebangsaan layak ke pentas Piala Asia secara merit.

Tambahnya, Pan Gon juga berjaya menaikkan ranking Malaysia dari 157 ketika mula-mula beliau mengambil alih ke 137 dunia ketika ini.

Di samping, ujarnya Pan Gon juga berjaya memberi keputusan positif apabila bertemu dengan pasukan yang lebih tinggi ranking iaitu seri 3-3 dengan Korea Selatan, (seri 1-1 dengan China), (seri 2-2 dengan Syria), (menang 4-3 dengan Kyrgyzstan) dan (menang 4-2 dengan India).

“Pan Gon berjaya membantu Malaysia membawa 10 mata dalam aksi Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia baru-baru ini.

“Ini juga pencapaian terbaik Malaysia dalam pentas kelayakan Piala Dunia/Asia,” ujarnya lagi.

Menurut Kahiril, peratusan kemenangan Pan Gon bersama dengan skuad Harimau Malaya adalah 57.14 peratus dengan mencapai 20 kemenangan daripada 35 perlawanan.

Semalam, Pan Gon yang mengendalikan skuad Harimau Malaya selama dua tahun empat bulan mengumum meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih atas sebab peribadi. – HARAKAHDAILY 17/7/2024