TUMPAT: Kerajaan negeri memberi tumpuan serius membangun industri penternakan haiwan ruminan yang menjadi teras sosio ekonomi penduduk tempatan.
Anggota Exco Kerajaan Negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri menyalurkan peruntukan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memperkasakan sektor penternakan ruminan serta membangun industri tenusu.
Katanya, bagi mencapai matlamat itu penternak digalak menyertai persatuan atau sidang bagi membolehkan mendapat maklumat semasa berkaitan penternakan ruminan.
“Melalui penglibatan itu boleh memberi pendedahan kepada penternak mengenai kaedah kawalan penyakit berjangkit dan penguatkuasaan peraturan dalam Enakmen Lembu Kerbau Kelantan 1968.
“Ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada penternak berkaitan Akta Binatang 1953 di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi kawalan penyakit berjangkit,” katanya ketika merasmikan Majlis Sidang Penternak dan Kempen Kesedaran Awam Kawalan Penyakit Ruminan di sini hari ini.
Seramai 166 penternak dari Tumpat dan Pasir Mas menyertai program berkenaan yang dianjur Pejabat Veterinar Tumpat.
Wan Roslan yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi berkata, ilmu berkaitan bidang penternakan penting diketahui penternak terutamanya bagi mengawal penyakit.
Selain itu dapat mengeratkan hubungan antara penternakan dan Pejabat Veterinar Jajahan. – HARAKAHDAILY 17/7/2024