KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa membuat tindakan yang sama terhadap apa yang berlaku di negeri Kedah apabila mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui lesen premis judi.
Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, ini berikutan sebelum ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan untuk tidak membenarkan pusat judi atau kasino beroperasi di Forest City, Johor Bahru bagi menafikan spekulasi akan menjadi bandar judi yang telah dikeluarkan Bloomberg.
Maka, ujar beliau sepatutnya tindakan Kedah disokong oleh semua atas semangat federalisme dan semangat tidak anti kepada Islam.
“Jadi kalau ada di kalangan anggota parti di sebelah kerajaan secara terbuka menyatakan akan mencabar tindakan tersebut.
“Inilah yang dikatakan sebuah kerja yang anti kepada Islam tetapi apabila didakwa anti-Islam, mereka menafikan tetapi tindakannya jauh berbeza daripada apa yang dinafikan.
“Dan kita tidak mahu industri judi menjadi penyumbang ekonomi negara setelah Forest City menjadi kawasan bebas cukai,” ujar beliau semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menurutnya, dengan ketegasan tersebut, Perdana Menteri dan kerajaan diharapkan supaya memberi dukungan dan sokongan penuh untuk menjadikan premis-premis judi negeri Kedah tidak boleh beroperasi.
“Dengan tidak ada sesiapa pun yang mencabar keputusan tersebut dan tidak akan terjadi tragedi sebagaimana yang kita ketahui beberapa hari yang lalu,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 17/7/2024