KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak melahirkan rasa gusar melihat kepada peningkatan statistik kanak-kanak berusia bawah 18 tahun yang disahkan autisme dalam tempoh 10 tahun dari tahun 2013 hingga 2023.
“Meningkat dari 183 kes kepada 1,681 kes. Dapatan ini adalah seperti yang dinyatakan oleh YB Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Dewan Rakyat sebagai menjawab pertanyaan mengenai punca berlakunya peningkatan kes autisme dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
“Data yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan ini adalah sejajar dengan dapatan kajian autisme global terbaharu yang mendapati bahawa kelaziman autisme global telah meningkat kepada 100 dalam 10,000, daripada 62 dalam 10,000 dalam tempoh sedekad yang lalu.
“Meskipun data yang ditunjukkan adalah kritikal, namun kita tidak melihat suatu usaha dan kesungguhan yang benar-benar jitu di pihak kerajaan untuk membina pusat jagaan autisme yang mencukupi bagi menyokong golongan rentan ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, menurut Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahrudin, dengan angka penghidap autisme yang semakin meningkat pada waktu ini, kira-kira 30 pusat jagaan autisme yang diperlukan di seluruh negara.
“Yang ada sekarang, baru 17 buah! Bayangkan bagaimana jerih perih dan kesukaran ibu bapa yang mempunyai anak-anak autistik ini membesarkan anak-anak tanpa satu sistem sokongan yang kukuh untuk meringkankan beban yang ditanggung mereka,” ujarnya.
Menurut beliau, dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dato’ Sri Nancy Shukri menyatakan bahawa kerajaan faham akan keperluan segera penambahan pusat jagaan autisme.
Namun beliau difahamkan, ianya suatu yang sukar dan mengambil masa dan pada waktu ini perkara terbaik adalah mengadakan lebih banyak kolaborasi bersama pihak swasta untuk betul-betul fokus kepada keperluan autisme.
“Persoalannya, yang dinyatakan oleh KPWKM hanya sebatas Kerajaan masih di peringkat kajian dan lebih banyak kajian perlu dijalankan, sedangkan angka penghidap autisme ini semakin meningkat saban tahun.
“Sampai bila rakyat harus menunggu? Paling tidak, saya berpandangan, Yang Berhormat Menteri perlu meletakkan satu ‘milestone’ untuk tempoh kajian dan bila tarikh mula pelaksanaan pembinaan pusat jagaan autisme tambahan ini.
Dengan pelan yang ada, sekurang-kurangnya akan membantu ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme di luar sana untuk merancang pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka,” ujarnya.
Menurut bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu itu, di peringkat kerajaan negeri sendiri, pada tahun 2021, sebuah pusat jagaan autisme pertama yang menyediakan kemahiran vokasional kepada golongan sasar telah ditubuhkan.
Jelasnya, usahasama untuk melengkapkan aspek modul pendidikan dan latihan serta aspek operasi telah dilakukan dengan integrasi kerjasama antara agensi kerajaan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO).
Terangnya lagi, model penglibatan rakyat untuk membantu rakyat yang ditonjolkan oleh kerajaan negeri ini sangat baik khususnya bagi menyebarluaskan lagi kesedaran autisme dalam kalangan masyarakat awam.
“Selain membawa mesej gandingan antara kerajaan dan rakyat adalah suatu yang amat perlu bagi menyelesaikan isu-isu masyarakat sebegini. Sungguhpun data semasa yang dilaporkan mendatangkan kebimbangan kepada kita semua.
“Tidak dapat dinafikan, peningkatan angka penghidap autisme berdaftar ini adalah suatu indikator positif kerana ia mencerminkan sikap golongan penjaga kelompok ini yang kini mempunyai kesedaran lebih baik mengenai kelainan spektrum yang dimiliki anak jagaan mereka berbanding orang normal.
“Mereka tidak lagi berterusan dalam ‘denial state’ yang akhirnya kita tahu akan memangsakan anak-anak autisme ini khususnya apabila meningkat remaja dan memasuki alam dewasa tanpa mendapat pendidikan dan latihan yang sewajarnya, bersesuaian dengan kelainan yang dimiliki mereka,” katanya.
Oleh itu tambah beliau lagi, sejajar dengan peningkatan kesedaran rakyat, besarlah harapannya agar kerajaan tidak lagi melengahkan pembinaan pusat jagaan autisme yang mencukupi ini kerana statistik penghidap gangguan spektrum ini semakin meningkat tahun ke tahun.
Keseriusan kerajaan ujarnya, dalam menawarkan solusi berbentuk sistem sokongan ini mencerminkan keprihatinan dan kecaknaan kerajaan dalam menanggapi jerih perih dan kesusahan hidup rakyat.
“Harapan kita agar kerajaan lebih bersungguh dan proaktif dalam usaha membangunkan potensi anak-anak autisme ini sehingga mereka mampu mandiri dan berfungsi dalam masyarakat sebagaimana golongan normal yang lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2024