Selesai isu pertindihan tuntutan wilayah negara jiran

Shaharizukirnain Abd Kadir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyatakan perancangan jangka panjang bagi menyelesaikan isu pertindihan tuntutan wilayah dengan negara jiran seperti Indonesia dan Brunei.

- Advertisement -

Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkata, kerajaan juga perlu menyatakan perkembangan terkini dalam tuntutan tersebut kerana melibatkan perantaraan badan antarabangsa Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

“Selain itu, adakah kerajaan turut merangka usaha proaktif untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi sempadan serantau di antara Malaysia, Brunei dan Indonesia?

“Perkara ini misalnya melalui platform Brunei-Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) dengan memberi tumpuan merentas sektor seperti ekonomi hijau keselamatan dan pelancongan, serta memudahkan pergerakan rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, berkata kementeriannya perlu berhati-hati dan amat teliti ketika berunding bagi menyelesaikan isu persempadanan kerana ia melibatkan kedaulatan negara yang tidak boleh dikompromikan.

“Perkara ini merupakan suatu perkara yang amat sensitif. Itu sebabnya kita telah selesai isu ini banyak sempadan di antara daratan Malaysia dan Indonesia.

“Di Brunei, setakat 33 peratus dan ada lagi kawasan yang sedang buat penandaan di mana Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) akan berunding dengan pihak rakan sejawat mereka daripada Brunei dan di situ perundingan akan dimulakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2024