AYER KEROH: Perikatan Nasional Negeri Melaka mengalu-alukan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis ke dalam keluarga besar parti gabungan itu.
Pengerusinya, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, tindakan ADUN Rembia itu adalah bagi memenuhi tanggungjawab sebagai orang Islam untuk memilih kebaikan dari yang batil ataupun ‘amar makruf, nahi mungkar’.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada YB Datuk Muhammad Jailani Khamis. Keputusan YB Rembia ini dilihat adalah keputusan yang berlandaskan keikhlasan dan kesungguhan seorang wakil rakyat yang ingin memperjuangkan nasib rakyat.
“Kesanggupan beliau meninggalkan keselesaan yang dinikmati dalam kerajaan atas rasa kesedaran bahawa Kerajaan Melaka yang ada sekarang bukanlah sebuah kerajaan yang patut disanjungi oleh rakyat Melaka,” katanya.
Dr Mohd Yadzil yang juga ADUN Bemban berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook beliau sebentar tadi.
Tambah beliau, tindakan Jailani itu tidak bercanggah dengan perlembagaan yang ada kerana tindakan yang dibuat adalah lebih awal dari tarikh ‘Akta Anti Lompat Parti’ dikuatkuasakan di Negeri Melaka.
“Saya yakin akan lebih ramai wakil rakyat yang ingin bersama dengan Perikatan Nasional dan serius untuk memperjuangkan nasib rakyat.
“Akhir kata, Perikatan Nasional Melaka akan teruskan melangkah dan melaksanakan agenda memperjuangkan nasib rakyat Melaka demi agama, bangsa dan negeri kita yang dicintai,” ujarnya.
Pengumuman mengenai penyertaan Jailani ke dalam PAS diumumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Bangunan Parlimen hari ini dalam satu sidang media.
Permohonan Jailani menyertai PAS secara senyap-senyap telah diluluskan pada 10 Jun tahun lepas yang mana pada waktu itu Negeri Melaka belum lagi meminda undang-undang berkaitan lompat parti. – HARAKAHDAILY 16/7/2024