RUU Kebebasan Maklumat: Parlimen putuskan, bukan menteri

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat (Freedom of Information) perlu diputuskan melalui budi bicara Parlimen dan bukan di peringkat menteri.

- Advertisement -

Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) menegaskan perlunya kuasa menggubal polisi dihadkan kecuali terhadap perkara yang berpotensi mengancam keselamatan negara.

Beliau mencadangkan klasifikasi ancaman keselamatan negara seharusnya diputuskan oleh jawatankuasa Parlimen, bukan mengikut budi bicara menteri seperti yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Adakah kerajaan bercadang untuk menghadkan kuasa menggubal polisi kecuali terhadap perkara yang mempunyai potensi mengancam keselamatan negara dan klasifikasinya tertakluk kepada keputusan jawatankuasa Parlimen dan bukannya mengikuti budi bicara menteri seperti yang dinyatakan dalam manifesto PH,” katanya semasa mengemukakan soalan dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga bertanya mengenai keserasian akta tersebut dengan undang-undang sedia ada seperti Akta Perlindungan Data Peribadi dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

“Sejauh manakah penggubalan akta ini tidak bercanggah dengan akta yang melindungi pengguna seperti Akta Perlindungan Data Peribadi, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan sebagainya,” katanya.

Di samping itu, beliau meminta pihak kementerian untuk menjelaskan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat diberi ruang untuk memberikan pandangan yang membina terhadap dasar atau polisi kerajaan tanpa dikenakan sekatan.

“Apakah komitmen kerajaan untuk memastikan supaya rakyat diberikan ruang untuk memberikan pandangan yang membina dan konstruktif terhadap mana-mana dasar atau polisi kerajaan tanpa dikenakan sebarang sekatan,” tambahnya.

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran V. Murugeson berkata, kerajaan sedang berusaha untuk membawa kebebasan bersuara yang lebih luas. – HARAKAHDAILY 15/7/2024