Perkasakan potensi pelancongan di Padang Rengas

Kapten Azahari Hasan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kapten Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) berkata kawasan Parlimen Padang Rengas berpotensi besar sebagai destinasi pelancongan.

- Advertisement -

Katanya, kawasan air terjun Ulu Kongsor, Batu Hampar, Lata Bumbu, Lata Perahu serta pelbagai inap desa yang semakin bertambah, mempunyai peluang besar untuk dikembangkan sebagai destinasi pelancongan utama.

“Dalam usaha merancakkan industri pelancongan sambil mempromosikan budaya dan warisan kepada para pelancong, adakah pihak MOTAC bercadang untuk menyediakan sejumlah peruntukan dalam bentuk bantuan dan insentif untuk disalurkan kepada para pengendali pelancongan dan pengusaha inap desa, chalet, dan tapak perkhemahan di kawasan Padang Rengas,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, di kawasan air terjun Ulu Kongsor sahaja kini terdapat 13 pengusaha tapak perkhemahan dan chalet.

“Satu lagi soalan, mengambil kira potensi Padang Rengas sebagai tarikan pelancong, apakah inisiatif lain untuk membantu merangsang sektor ekonomi berasaskan pelancongan setempat, seperti industri ekopelancongan, melalui kerjasama dengan pengusaha inap desa, chalet, dan tapak perkhemahan, termasuk menaik taraf kemudahan ‘homestay’ dan kawasan-kawasan air terjun yang dinyatakan tadi,” tambahnya.

Menjawab soalan itu, menteri berkenaan, Dato’ Seri Tiong King Sing, berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha tersebut.

Azahari dalam soalan asal meminta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan sama ada terdapat peluang dan ruang untuk mengangkat Parlimen Padang Rengas sebagai salah satu tempat yang berpotensi dalam aktiviti pelancongan. – HARAKAHDAILY 15/7/2024