KOTA BHARU: Kebimbangan ahli dan penyokong PAS di peringkat akar umbi terhadap tragedi ‘pisang berbuah dua kali’ diyakini tidak berulang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya memahami apa yang disuarakan pimpinan PAS peringkat akar umbi supaya tidak berulang agenda ‘lompat parti’.
Katanya, pertimbangan tersebut masih dalam perbincangan pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) dan semua ahli diminta akur terhadap sebarang keputusan dibuat kelak.
“Bila pimpinan buat keputusan kita serah kepada Allah, ini menjadi keyakinan kita selama ini. Sebab itulah kita kena ikut keputusan pimpinan.
“Tetapi apa yang penting logo bulan akan digunakan pada PRK Nenggiri, setakat ini begitulah,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai-pegawai Kontrak Perkhidmatan Negeri di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Politik Menteri Besar, Dr Nazmi Ghazali Azmi dan Presiden Persatuan Pegawai Kontrak, Ahmad Mustapha Ab Azais.
Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, PAS Kelantan sudah merangka strategi bagi menarik lebih ramai sokongan penduduk Orang Asli di lima Unit Daerah Mengundi (UDM) di DUN Nenggiri.
DUN Kelantan mengumum kekosongan luar jangka DUN Nenggiri berkuat kuasa 19 Jun lalu selepas Bersatu menyerahkan notis pelucutan keahlian penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim. – HARAKAHDAILY 16/7/2024