KUALA LUMPUR: Pelanggaran terhadap Perlembagaan Persekutuan merupakan satu ‘pengumuman rasmi’ kepada dunia bahawa kerajaan yang ada memerintah Malaysia pada hari ini tidak boleh diikat dengan sebarang perjanjian.
Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kerajaan ketika ini sangat tidak boleh dipercayai untuk dijalinkan sebarang hubungan khususnya berbentuk perkongsian perniagaan.
“Jika undang-undang yang termaktub di dalam Perlembagaan yang mereka sendiri desak untuk diwujudkan pun boleh mereka ‘bulldoze’ (langgar), apa lagi janji yang boleh mengikat rejim seperti ini?” ujarnya menjentik perhatian isu dari Dewan Rakyat.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan tidak berlaku kekosongan kerusi melibatkan enam Ahli Parlimen yang telah gugur keahlian mereka daripada BERSATU susulan sokongan kepada Perdana Menteri beberapa bulan lalu.
Keputusan itu disifatkan oleh ramai pakar perundangan sebagai telah melanggar peruntukan berkaitan termasuk Akta Antilompat Parti yang baharu diluluskan serta menjurus kepada risiko berlakunya krisis Perlembagaan.
Manakala di pihak ramai ahli dan pemerhati politik terutama dalam kalangan anggota legislatif melihat tindakan Johari sebagai berkepentingan kepartian dan memungkinkan polemik dan kepincangan di pelbagai peringkat.
Malah, keputusan Speaker tersebut turut jelas bercanggah dengan penegasannya agar perbuatan ‘menjahanamkan negara’ tidak berlaku iaitu ketika beliau membahas akta tersebut semasa sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani dua tahun lalu.
Ahmad Fadhli juga tidak menolak bahawa pelanggaran tersebut akan membangkitkan satu lagi rasa ancaman oleh rakyat yang menunjukkan kerajaan hari ini bersikap sewenang-wenangnya dan mengabaikan segala norma demi mengekalkan kuasa.
Para penganalisis merumuskan sikap rakyat yang dinilai pada PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Jun lalu adalah reaksi kepada dua ancaman iaitu kehidupan dan keselamatan disebabkan peningkatan kos sara hidup dan isu BlackRock.
Rata-rata analisis menyatakan bahawa keputusan pilihan raya kecil tersebut mewakili rasa terancam rakyat oleh tindakan kerajaan ketika ini menaikkan harga diesel dan bertindak menjual sebahagian kepentingan negara kepada syarikat pro-Israel.
“Ya benar! Perubahan, kebangkitan dan kesedaran rakyat terhadap politik, serta penolakan mereka terhadap Kerajaan Perpaduan sekarang adalah kerana ‘rasa terancam’ khususnya kepada isu kehidupan dan keselamatan tersebut.
“Di mana-mana jua sekalipun kita boleh melihat bahawa dahulu golongan muda kurang sensitif dengan pergolakan politik dan kurang gemar mengambil bahagian dalam proses pilihan raya. Tapi ia berbeza sejak PRU15 yang lepas sehinggalah kepada beberapa siri PRK.
“Kita mendapati golongan muda sangat prihatin dengan nasib masa depan negara. Mereka menyertai proses pengundian dan memilih untuk mengundi Perikatan Nasional yang dilihat lebih baik untuk mengemudi negara demi masa depan mereka,” ulasnya. – HARAKAHDAILY 16/7/2023