KUALA LUMPUR: Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) mencadangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Data Peribadi (Pindaan) 2024 supaya ditangguhkan.
Ismi berkata, banyak persoalan yang beliau kemukakan berkaitan pengawal perlindungan data tetapi definisinya masih belum jelas.
“Apakah yang dimaksudkan pengawal perlindungan data dan mengapakah diberikan kuasa yang sangat besar sehingga boleh memindahkan data kita ke luar negara?” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau difahamkan, pengawal perlindungan data perlu bertanggungjawab bukan sahaja terhadap integriti data, namun perlu melapor kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kebocoran data di institusi ataupun syarikat di mana pengawal itu bertugas.
“Bagaimanakah seorang pengawal perlindungan data ini akan dilatih selayaknya bagi memastikan objektif pengawalan data ini tercapai?
“Adakah pengawal perlindungan data ini dilantik dari kalangan pegawai syarikat yang mempunyai kandungan data peribadi ini?
“Jika pelantikan pengawal perlindungan data ini adalah daripada kakitangan syarikat yang memiliki data ini, bagaimanakah Jabatan Perlindungan Data Peribadi memastikan tiada konflik kepentingan wujud bagi memastikan pengawal data itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!