ADUN Rembia ‘pindah’ untuk susah bersama rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, tindakannya meninggalkan Umno-BN dan menyertai PAS tidak sama dengan enam orang Ahli Parlimen Bersatu yang beralih menyokong Kerajaan PH-BN.

- Advertisement -

“Yang enam orang (Ahli Parlimen Bersatu) itu dia pindah kerana peruntukan, untuk mendapatkan peruntukan.

“Saya pindah untuk memilih susah bersama rakyat. Kalau rakyat sekarang susah dengan dasar-dasar menekan (oleh) kerajaan ini, kita sudah sama-sama susah, senang sama-sama senang,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media di lobi Parlimen berkaitan dengan penyertaan beliau bersama PAS. Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail.

Jelasnya, selama ini beliau seperti digantung tidak bertali setelah keahliannya digantung oleh Umno dan peruntukan wakil rakyatnya turut dinafikan.

Terdahulu kemasukan Jailani ke dalam PAS telah diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media yang sama.

Takiyuddin berkata, kemasukan Jailani ke dalam PAS telah diluluskan pada 10 Jun tahun lepas yang mana pada waktu itu Negeri Melaka belum lagi meminda undang-undang berkaitan lompat parti.

DUN Melaka telah melakukan pindaan pada Undang-undang Tubuhnya bagi memasukkan undang-undang berkaitan larangan lompat parti dan diluluskan pada 31 Julai tahun lepas.

Dengan kemasukan Jailani ke dalam PAS bersama Perikatan Nasional menjadikan DUN Melaka kini memiliki tiga ADUN pembangkang termasuk ADUN Bemban yang juga Ketua Pembangkang, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof. – HARAKAHDAILY 16/7/2024