KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan bahawa penubuhan Agensi Pintu Masuk Sempadan Malaysia (MCBA) dapat mengatasi kebejatan integriti dalam proses penguatkuasaan sempadan.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, ini kerana ‘memperkukuhkan integriti’ merupakan satu daripada tiga sebab utama penubuhan agensi tersebut.
“Tidak terlaluan jika saya katakan rakyat cukup bimbang dengan rentetan kebejatan integriti yang melibatkan penguatkuasaan di sempadan negara.
“Penyeludupan barang tak terkawal kemasukan pendatang asing tanpa izin, semua ini memberikan kesan langsung dan tidak langsung kepada kehidupan rakyat,” ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Pusat itu berkata, kerajaan perlu perincikan bagaimana penubuhan operasi kawalan sempadan di bawah satu agensi itu dapat meredakan kebejatan tersebut.
“Fasa 15 contohnya ada menyatakan perihal wang yang dikutip atau diterima oleh pegawai agensi.
“Adakah fasa ini memadai untuk membendung kemungkinan salah guna kuasa? Adakah tatacara pengendalian wang dan barang rampasan di sempadan?” soalnya.
Ahmad Fadhli membangkitkan perkara itu sewaktu membahaskan bagi Rang Undang-undang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut mengajukan persoalan tentang elemen timbang-timbang rasa dan kemanusiaan dalam situasi sempadan yang sukar untuk dikuatkuasakan sepenuhnya.
“Saya ambil contoh di Pulau Sebatik. Ini sebagai contoh bagaimana ada rumah yang ruang tamu di Malaysia, dapurnya di Indonesia.
“Itu belum lagi mengambil kira sempadan sempadan yang mengandungi ataupun melingkungi ruang lingkup hubungan sehari-hari kekeluargaan dan sebagainya,” katanya.
Beliau membangkitkan persoalan tentang bagaimana tatacara ini dapat dikuatkuasakan sepenuhnya tetapi dalam masa yang sama dapat mempermudahkan urusan rakyat yang terlibat.
“Dalam isu ini sudah pasti kita tidak mahu bertolak ansur dengan jenayah. Apa jua jenayah kita tidak akan boleh bertolak ansur sama sekali.
“Namun dalam masa yang sama di sana ada timbang rasa, di sana ada kemanusiaan yang perlu untuk kita laksanakan,” katanya.
Beliau mahu kerajaan menjelaskan bagaimanakah kerajaan dapat bertimbang rasa dan dapat melihat isu itu dalam aspek Malaysia sebagai kerajaan yang berdaulat. – HARAKAHDAILY 15/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!