TANGGA BATU: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meluangkan masa menziarahi pusara tokoh ulama negeri Melaka, Almarhum Tuan Guru Jaliluddin Abdul Wahid.
Beliau bersama rombongannya tiba di kawasan Tanah Perkuburan Pusara Abadi kira-kira jam 10:45 pagi tadi yang terletak di Sungai Udang, di sini.
Beliau turut mendirikan solat jenazah ghaib di pusara Almarhum bersama-sama rombongannya disertai Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che’ Sulaiman yang juga merupakan Setiausaha Politik beliau.
Almarhum kembali ke rahmatullah pada Jumaat, 5 Julai lalu pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Melaka paling lama iaitu selama 20 tahun, selain pernah menjadi Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat.
Almarhum mewarisi sebuah sekolah agama rakyat Maahad Annuriah Addiniah Sungai Udang daripada ayahnya yang juga tokoh ulama terkenal Melaka, Tuan Guru Abdul Wahid Othman.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail menzahirkan ucapan terima kasih atas kehadiran Tuan Guru Presiden bagi menziarahi pusara Almarhum Tuan Guru Jaliluddin.
“Alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah SWT pada pagi ini dalam keadaan kesihatan beliau tetap bersemangat untuk turun ke Melaka bagi menziarahi arwah sahabat karib beliau itu.
“Beliau juga melakukan solat ghaib tadi di kubur dan setelah itu Tuan Guru bergerak untuk minum pagi di rumah Yang Berhormat Tangga Batu, Tuan Haji Bakri,” katanya.
Beliau berkata, Tuan Guru Abdul Hadi turut berkongsi kisah bagaimana beliau bersahabat dengan Allahyarham sewaktu sedang menuntut di luar negara.
“Beliau menceritakan pengalaman yang beliau lalui bersama Allahyarham Tuan Guru Jaliluddin di mana Allahyarham dikenali oleh Tuan Guru Presiden seawal tahun 60-an ketika menuntut di India dan kemudian ke Madinah.
“Kata Tuan Guru Abdul Hadi, di Madinah Allahyarham menetap di rumah beliau sewaktu beliau belajar di sana,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jasin.
Kata beliau, Tuan Guru Abdul Hadi turut memberitahu bahawa ayah kepada Allahyarham juga bersahabat dengan ayah kepada Presiden PAS itu.
“Ini adalah suatu contoh yang kita sebagai abnaul harakah perlu mengambil iktibar dan panduan di dalam kita meneruskan perjuangan Islam di negara kita dan khususnya di Negeri Melaka.
“Ia tentang bagaimana menjaga ukhuwah, mengikat ukhuwah yang kuat antara sesama sahabat-sahabat dalam bahtera perjuangan Islam yang mulia ini,” katanya.
Antara pimpinan PAS Melaka yang hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya, Bakri Jamaluddin dan Ustaz Imran Abdul Rahman serta Setiausaha, Asri Shaik Abdul Aziz dan Bendahari, Mohsin Ibrahim. – HARAKAHDAILY 15/7/2024