KUALA LUMPUR: Pindaan RUU Angkatan Tentera diharapkan akan mempercepatkan proses perbicaraan dan mengurangkan trauma kepada saksi kanak-kanak.
Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berkata, ia juga bagi memastikan keadilan dilaksanakan dengan sebaik mungkin termasuklah keadilan dan kesaksamaan kepada kanak-kanak yang menjadi saksi itu.
Beliau berkata, terdapat pelbagai implikasi pindaan yang akan dicadangkan kepada Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 di mana turut memberi kesan kepada Akta Angkatan Tentera 1972.
Menurutnya pindaan-pindaan ini penting untuk memastikan sistem keadilan negara lebih inklusif dan adil terutama dalam menangani kes yang melibatkan saksi kanak-kanak.
Namun ujarnya, perlu diteliti bagaimana perubahan ini akan mempengaruhi prosiding mahkamah tentera di bawah Akta Angkatan Tentera 1972.
Dalam pada itu, Tarmizi berkata, terdapat beberapa perkara penting ingin disentuh berkaitan dengan pindaan akta ini.
“Yang pertama iaitu kekompetenan saksi kanak-kanak ataupun kelayakan saksi kanak-kanak itu.
“Pindaan kepada Seksyen 118 Akta Keterangan 1950 dan Seksyen 133a Akta 56 yang menetapkan bahawa semua kanak-kanak adalah berkompeten untuk memberikan keterangan dengan mengangkat sumpah atau berjanji untuk bercakap benar akan turut terpakai dalam mahkamah tentera.
“Ini membolehkan saksi kanak-kanak memberikan keterangan tanpa diskriminasi umur, memastikan keadilan yang lebih baik kepada semua pihak yang terlibat.
“Sebagai contoh dalam kes mahkamah tentera yang melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, saksi kanak-kanak yang berumur bawah 12 tahun kini boleh memberi keterangan dengan lebih mudah dan tidak memerlukan inquiry (pertanyaan-pertanyaan) tambahan mengenai kekompetenan mereka kecuali dicabar.
“Ini dapat mempercepatkan proses perbicaraan dan mengurangkan trauma kepada saksi kanak-kanak,” ujar beliau ketika membahaskan Rang Undang-undang Angkatan Tentera (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Yang kedua katanya, iaitu pemansuhan keperluan keterangan sokongan mandatori bagi saksi kanak-kanak bermaksud bahawa keterangan mereka akan diterima secara sama rata dengan keterangan saksi dewasa.
Ini ujarnya termasuklah kes di bawah bidang kuasa mahkamah tentera di mana kes-kes melibatkan saksi kanak-kanak tidak lagi memerlukan keterangan sokongan untuk diterima.
“Sebagai contoh, jika seseorang kanak-kanak menjadi saksi dalam kes jenayah yang melibatkan anggota tentera, keterangan mereka akan dianggap sah tanpa memerlukan sokongan tambahan.
“Mahkamah tentera harus menilai keterangan kanak-kanak dengan cara yang sama seperti saksi lain, mengurangkan halangan untuk mendakwa pesalah yang melibatkan kanak-kanak.
“Yang ketiga, iaitu memperkenalkan pengurusan kes pra perbicaraan mandatori untuk kes-kes seksual kanak-kanak yang juga akan terpakai dalam prosiding mahkamah tentera.
“Ini akan memastikan bahawa kaedah yang sesuai digunakan untuk kanak-kanak memberikan keterangan dan mengurangkan kelewatan dalam proses perbicaraan.
“Sebagai contoh dalam mahkamah tentera jika terdapat kes yang melibatkan saksi kanak-kanak dalam kesalahan seksual, hakim boleh memberi arahan sebelum perbicaraan mengenai cara kanak-kanak akan memberi keterangan termasuk penggunaan skrin video rakaman atau cara penyoalan yang sesuai.
“Ini akan memastikan proses perbicaraan lebih lancar dan mengurangkan trauma kepada saksi kanak-kanak,” kata beliau.
Tambahnya, yang keempat iaitu peruntukan baru yang membolehkan rakaman video diterima tanpa transkrip bahasa asal jika bahasa tersebut tidak boleh ditranskripkan akan memudahkan penerimaan keterangan kanak-kanak dalam mahkamah tentera.
Sebagai contoh jelasnya, jika saksi kanak-kanak memberikan keterangan dalam bahasa yang tidak mempunyai bentuk tulisan, namun rakaman video tersebut masih boleh diterima oleh mahkamah tentera dengan transkrip dalam bahasa Malaysia di mana ini memastikan keterangan penting tidak ditolak hanya kerana kekangan bahasa.
“Kesimpulannya pindaan kepada Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 membawa banyak faedah dalam memastikan keadilan kepada saksi kanak-kanak.
“Implikasi terhadap Akta Angkatan Tentera 1972 adalah signifikan di mana ia memperkukuhkan keadilan dalam prosiding mahkamah tentera bagi memastikan saksi kanak-kanak diberikan perlindungan dan peluang untuk memberikan keterangan tanpa diskriminasi,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 15/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!