Pastikan wujud ketelusan dalam operasi MCBA

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil langkah konkrit bagi memastikan ketelusan dalam operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA).

- Advertisement -

Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) menegaskan bahawa tanpa mekanisme pengawasan yang jelas dan mantap, kemungkinan risiko penyalahgunaan kuasa dan kurangnya akauntabiliti boleh berlaku.

“Sehubungan itu perlu ada laporan tahunan yang diterbitkan kepada umum dan pengawasan oleh badan bebas,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, penubuhan dan operasi MCBA akan memerlukan peruntukan kewangan yang besar.

Namun, ujarnya tiada butiran terperinci mengenai jumlah yang diperlukan dan bagaimana ia akan digunakan.

“Kerajaan perlu menyediakan anggaran belanjawan yang terperinci serta memastikan dana digunakan dengan efisien dan berkesan. Selain itu, perlu ada audit berkala oleh Jabatan Audit Negara,” ujarnya.

Katanya lagi, penubuhan MCBA adalah langkah yang besar ke arah memperkukuhkan keselamatan negara, namun perlaksanaannya perlu dilakukan dengan teliti dan penuh tanggungjawab.

“Sebarang kelemahan dalam pelaksanaan boleh membawa kesan buruk kepada keselamatan dan ekonomi negara kita.

“Saya menyeru agar kerajaan mempertimbangkan cadangan-cadangan yang telah dikemukakan dalam memastikan bahawa setiap langkah diambil untuk menjamin keberkesanan dan integriti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/7/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -