KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) menekankan kepentingan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dalam melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual yang semakin meningkat.
Beliau menegaskan pentingnya RUU ini untuk memastikan perlindungan menyeluruh bagi kanak-kanak.
Menurutnya, statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilaporkan, namun banyak lagi kes yang tidak dilaporkan kerana mangsa takut atau malu untuk tampil ke hadapan.
“Oleh itu, amat penting bagi kita untuk memastikan bahawa Rang Undang-Undang kita cukup kuat untuk melindungi golongan yang lemah ini dalam masyarakat,” katanya ketika sesi perbahasan RUU tersebut, hari ini.
Katanya lagi, satu aspek penting dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak, iaitu daftar pesalah jenayah seksual.
“Daftar yang diperkenalkan pada tahun 2019, bertujuan untuk melindungi kanak-kanak dengan menyimpan rekod pesalah jenayah seksual supaya pihak berkuasa dapat memantau mereka dan memastikan mereka tidak mempunyai akses kepada kanak-kanak pada masa akan datang.
“Saya menyokong penuh usaha ini kerana ini adalah langkah pencegahan yang amat penting,” tambah beliau.
Namun, beliau mengemukakan beberapa soalan dan cadangan berkaitan pelaksanaan daftar pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak ini.
Beliau meminta pihak yang bertanggungjawab untuk menyatakan statistik terkini daftar pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak sejak tahun 2019 hingga 2024.
“Setelah lima tahun daftar ini diperkenalkan, apakah penilaian kerajaan mengenai impak daftar ini dalam meningkatkan keselamatan awam dan mengurangkan kadar jenayah seksual terhadap kanak-kanak, serta data atau kajian yang menunjukkan keberkesanan daftar ini.
“Saya yakin perlunya ada mekanisme yang jelas untuk memastikan bahawa setiap pesalah dibebaskan dari penjara namun, maklumat mereka dikemaskinikan dalam daftar ini,” katanya lagi.
Ujarnya, maklumat itu juga perlu diakses oleh pihak berkepentingan seperti sekolah, taman asuhan kanak-kanak dan organisasi sukarela yang bekerja dengan kanak-kanak.
Selain itu, perlu ada usaha untuk mewujudkan kesedaran kepada pihak berkepentingan untuk membuat semakan daftar tersebut mengikut keperluan.
Beliau turut menekankan perlunya undang-undang yang ketat untuk melindungi bekas pesalah yang telah menjalani hukuman mereka, memastikan bahawa maklumat dalam daftar ini hanya boleh diakses oleh pihak yang mempunyai kepentingan yang sah dan dilindungi dari penyalahgunaan. – HARAKAHDAILY 15/7/2024