KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan membelanjakan sejumlah RM8.194 juta untuk anugerah kecemerlangan kepada 16,388 orang pelajar cemerlang negeri ini sejak ia mula diperkenalkan 2006.
Daripada jumlah itu, seramai 1,086 orang pelajar cemerlang semua peperiksaan tahun 2023 telah diraikan membabitkan peruntukan RM543,000.
Jumlah perbelanjaan itu merupakan ketiga tertinggi sejak anugerah itu diperkenalkan 18 tahun lalu, iaitu pada 2013 (RM571,000) dan 2012 (RM562,000).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, peruntukan itu dikeluarkan sejak ia mula diperkenalkan pada 2006 sehingga 2023.
Menurutnya, peruntukan sebanyak RM500 kepada setiap orang pelajar itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memberi dorongan kepada pelajar supaya terus berjaya.
“Sebagaimana yang diketahui, program ini adalah untuk kita sama-sama meraikan pelajar Kelantan yang cemerlang dalam peperiksaan yang diduduki tahun 2023 yang lalu.
“Menghargai penat lelah dan pengorbanan anak-anak dalam mencapai kecemerlangan 9A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mumtaz bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 4P A bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2023 Kerajaan Kelantan di Dewan Besar Kompleks Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan, Tunjong, dekat sini hari ini.
Menurutnya, hari ini seramai 1086 menerima angerah tersebut yang terdiri daripada pelajar sekolah-sekolah agama kerajaan negeri, sekolah menengah kebangsaan, Maktab Rendah Sains Mara dan anak-anak Kelantan yang belajar di negeri lain.
Pada majlis itu juga beliau memberitahu YIK turut berjaya melahirkan 300 orang hafiz pada tahun 2023 melalui Majlis Graduasi Tahfiz.
Katanya, sehingga kini jumlah keseluruhan seramai 5,122 penghafaz al-Quran dari Maahad Tahfiz YIK dengan 3,439 orang hafiz dan 1,683 orang hafizah.
Beliau memberitahu YIK telah memenangi Johan Anugerah Inovasi Sektor Awam Negeri Kelantan (AISAK) tahun 2023 kategori Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi. melalui sistem e-Naziran YIK yang telah dibangunkan secara dalaman pada 14 Februari 2024.
“Sesungguhnya Yayasan Islam Kelantan adalah wadah menyemarakkan ilmu agama bukan sahaja untuk rakyat Kelantan malah untuk pencinta ilmu dari luar Kelantan.
“Usaha ini sentiasa dipergiatkan untuk memastikan Kelantan kekal sebagai negeri yang membekalkan modal insan yang bermanfaat dunia dan akhirat,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 14/7/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!