
KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 hadir dalam program anjuran PAS Pusat melalui Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat (LTPPP), Liqa’ Fikri PAS Pusat Siri Kedua 2024 di Menara PGRM, Cheras, di sini, hari ini.
Menurut urus setia program, seramai 5,281 orang hadir, dengan 1,500 daripadanya adalah secara fizikal, manakala secara dalam talian pula seramai 3,781 orang.
Program ini telah dihadiri oleh semua perwakilan daripada Ahli Jawatan Kuasa (AJK) PAS Pusat dan AJK Badan Perhubungan PAS Negeri.
Sementara AJK PAS Kawasan telah menghadiri program ini di platform aplikasi Zoom di Markas PAS kawasan masing-masing.
Sehubungan dengan itu, program ini terdapat dua pembentangan kertas kerja yang didahului dengan pembentangan pertama, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad yang bertajuk, Memugar Intima’ Jama’ie: Tuntutan dan Cabaran di Persada Politik.
Seterusnya, bagi pembentangan kertas kerja utama pula disampaikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Tok Guru) akan membawa judul, Islam Liberal: Cabaran Gerakan Islam.
Selain itu juga, terdapat tiga pelancaran yang dijalankan iaitu yang pertama ialah Harakah Cetak Depan Rumah daripada media rasmi PAS, Harakah.
Kedua, pelancaran buku terbaharu Tok Guru, Muqaddimah Aqidah Muslimin dan Sejarah Mazhab Aqidah dan Firqah Umat Islam.

Ketiga adalah pelancaran Nilai Lima Kaf P12K Ansarullah di bawah pelancaran Lajnah Tarbiyah, yang mana Nilai Lima Kaf ialah merujuk masing-masing kepada Keilmuan, Kesetiaan, Kesabaran, Kebajikan dan Kesungguhan.
Sebelum program yang bermula pada kira-kira jam 2.30 petang dan berakhir pada petang, diadakan sesi dialog dan soal jawab dikendalikan oleh Yang Dipertua Kawasan Sabak Bernam.
Terdahulu, Liqa’ Fikri Siri Pertama telah diadakan di Seri Kembangan, Serdang, Selangor pada 13 Januari 2024 dan Siri Ketiga pula akan menyusul selepas Siri Kedua hari ini dalam tempoh tiga bulan akan datang sepertimana kebiasaan Liqa’ Fikri yang dijalankan tiga kali setahun.
Namun begitu, difahamkan maksud Liqa’ ialah pertemuan, manakala Fikri pula bermakna pemikiran.
Justeru, Liqa’ Fikri bermakna pertemuan bagi menyatukan cara berfikir terutamanya kepada para pemimpin PAS di semua peringkat.
Program ini sangat penting bagi kesinambungan perjuangan PAS yang meletakkan matlamat menegakkan agama Islam hingga berdaulat dengan erti kata sebenar. – HARAKAHDAILY 13/7/2024




















